KBS sedia cari jalan bantu Hafizh Syahrin
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersedia mencari jalan terbaik bagi membantu pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang memberi bayangan untuk meninggalkan Kejuaraan Motosikal Dunia pada penghujung musim ini.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jika atlet negara mempunyai masalah, KBS akan terlebih dahulu mendengar sebelum sedaya upaya memberikan pertolongan.
“Itu tanggungjawab kita, yang penting beliau juga kena berusaha dan perlu ada semangat, insya-ALLAH kita akan dapatkan satu titik pertemuan untuk memastikan beliau terbela,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Institut Sukan Negara (ISN) di sini pada Khamis.
Baru-baru ini, Hafizh yang mewakili NTS RW Racing GP mengakui tidak dapat melihat masa depannya berlumba pada musim 2022 disebabkan faktor kekangan kewangan kerana untuk beraksi beliau perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi memenuhi tuntutan pasukan.
Beliau terdahulu memberi bayangan bersedia untuk menamatkan perjalanan kariernya selama lapan tahun dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia menerusi hantaran di Instagram miliknya dengan menggamit perjalanan kariernya sejak 2014.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Faizal berkata dalam tempoh yang singkat di kementerian itu beliau bersama warga kerja KBS telah mewujudjan akaun satelit industri sukan.
Ahmad Faizal berkata, ia kerana sehingga kini tiada data untuk menunjukkan betapa besarnya industri sukan negara.
“Dari segi pakaian sukan, pembuatannya, peralatan sukan, perniagaan dari segi fasiliti sukan dan sebagainya kita belum ada data lengkap,” kata beliau.
Bercakap mengenai industri sukan, Ahmad Faizal berkata KBS mengalu-alukan penglibatan atlet atau bekas atlet untuk terlibat dalam memberi sokongan kepada industri itu serta meraih pulangan daripadanya.
“Saya tak nak atlet-atlet bila bersara meninggalkan terus bidang tersebut dan pergi ke bidang lain seterusnya memulakan kehidupan baharu. Kehidupan baharu dalam bidang yang sama boleh diteruskan kerana industri sukan itu cukup besar dan boleh beri pulangan yang banyak dari segi pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, lawatan rasmi Ahmad Faizal bagi meninjau fasiliti dan operasi ISN selaku agensi penyedia perkhidmatan saintifik, nasihat, perundingan dan perkhidmatan berkaitan sains sukan dan perubatan sukan kepada atlet negara.
Antara fasiliti dikunjungi adalah Fasiliti Perubatan Sukan, Makmal Ais, Makmal Pergerakan Manusia, Gim Rimba dan ‘Environmental and Altitude Chamber’.
Beliau berpuas hati dengan operasi yang dijalankan ISN mengikut spesifikasi bertaraf antarabangsa dalam usaha memulihkan serta meningkatkan prestasi atlet.
“Atlet negara harus memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi memastikan kecederaan dapat dipulihkan selain meningkatkan kecergasan mereka dalam masa singkat,” katanya.
Turut sama pada sesi lawatan itu adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker; Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS Ramona Mohd Razali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdulah Hasan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!