1 maut, 11 cedera dalam letupan di timur Afghanistan
ASADABAD - Seorang pegawai Taliban terbunuh dan 11 orang cedera dalam kejadian letupan membabitkan kenderaan pasukan keselamatan Taliban di Asadabad, ibu kota wilayah Kunar Afghanistan timur, pada Khamis, menurut sumber wilayah.
"Letupan itu berlaku berhampiran sebuah jambatan di daerah Karhali di bandar itu pada waktu pagi.
"Abdullah yang bertugas sebagai ketua polis Taliban daerah Shegal di Kunar maut dalam kejadian itu," kata sumber yang enggan disebutkan namanya kepada Xinhua.
Sementara itu, Ketua Hospital Wilayah Attahullah Sapay, mengatakan satu mayat dan 11 yang cedera dalam kejadian itu dibawa ke hospital besar wilayah.
Mangsa yang cedera antaranya tujuh orang awam, termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak serta empat anggota Taliban, katanya kepada Xinhua.
Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Keadaan keselamatan di Afghanistan secara amnya kekal tenang namun tidak menentu sejak Taliban mengambil alih negara itu pada pertengahan Ogos.
Bagaimanapun, beberapa siri serangan bom dilancarkan oleh militan kumpulan gabungan anggota IS di Kabul, Kunduz utara dan wilayah Nangarhar timur dalam beberapa minggu terakhir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!