Baja bersubsidi, benih padi bernilai RM150,000 dirampas
Operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang bermula pada 4 petang itu berakhir sekitar 11 malam tadi.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, serbuan dilakukan selepas gudang itu disyaki menjalankan aktiviti penjualan baja subsidi serta anak benih padi tidak sah.
Menurutnya, sehubungan itu, lima pegawai SPRM, 10 pegawai KPDNHEP dan empat pegawai MOA melakukan serbuan ke gudang terbabit.
“Maklumat awal mendapati pihak tertentu membekalkan baja subsidi kepada gudang itu untuk dibuat pembungkusan baharu sebelum dipasarkan pada harga lebih tinggi, " katanya.
Shaharom Nizam berkata, hasil pemeriksaan mendapati gudang itu tidak mempunyai lesen untuk menjual baja.
"Terdapat beberapa longgokan baja dalam gudang, KPDNHEP menyita 33 tan baja dianggarkan bernilai RM53,000 manakala MOA menyita 100 tan benih padi tidak sah dianggarkan bernilai RM97,000," katanya.
Menurutnya, pemilik gudang terbabit akan dipanggil memberi keterangan kepada KPDNHEP untuk siasatan bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
“Kes itu juga disiasat bawah Akta Kawalan Padi Dan Beras 1994 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!