Piala Malaysia: Sarawak United perlu kuat mental, fizikal
KETUA jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan teruja melihat kemampuan keseluruhan pemain yang berjaya menggalas tanggungjawab dengan cemerlang dalam kempen Piala Malaysia biarpun kehilangan beberapa tonggak utama.
Ketiadaan Sharbinee Allawee, Mohd Amer Saidin dan Badrul Affendy Mohd Fadzli yang digantung perlawanan tidak memberikan kesan kepada persembahan Sarawak United.
Menurut Elavarasan, situasi itu menunjukkan kualiti pemain yang setara antara skuad utama dan simpanan sekali gus menjadikan persaingan yang sihat di dalam pasukan.
“Selain ada membuat sedikit perubahan taktikal, saya sangat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain yang mengambil tempat tonggak utama.
“Stuart Wark dan Khair Jones membuktikan pengalaman yang mereka ada boleh membantu pasukan apabila berjaya membantu di barisan pertahanan selepas ketiadaan Amer dan Badrul, begitu juga Shaiful Wazizi selaku penjaga gol.
“Saya harap situasi ini berterusan kerana akan berikan banyak kebaikan kepada pasukan bagi hadapi saingan Piala Malaysia selain bukti semua pemain sebenarnya punyai kualiti setara bagi membantu pasukan,” katanya.
Selepas digantung tiga perlawanan, khidmat Amer Saidin sudah boleh dipertaruhkan bagi hadapi Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 30 Oktober manakala Badrul Affendy masih digantung satu lagi perlawanan.
Sharbinee yang digantung lima perlawanan, perlu menghabiskan baki dua perlawanan dan hanya boleh diturunkan pada aksi kelima peringkat kumpulan.
Dalam pada itu, Elavarasan berkata, dia berasakan pemain-pemain Sarawak United perlu segera bersiap sedia dari segi mental dan fizikal selepas dengan apa mereka pamerkan pada dua perlawanan pertama Piala Malaysia.
Tambahnya, setiap pasukan yang berada dalam Kumpulan A pasti akan lebih banyak melakukan kerja rumah terhadap kekuatan serta kelemahan Sarawak United.
“Tempoh rehat selama sebulan ini akan pasti memberikan banyak perbezaan terhadap persembahan mana-mana pasukan kerana prestasi dari dua perlawanan sebelum ini sudah tidak boleh diambil kira.
“Semua pasukan pasti akan melakukan banyak penambahbaikan setelah melihat apa yang terjadi dalam perlawanan sebelum ini.
“Sarawak pasti akan diberi perhatian oleh pesaing-pesaing kami apabila kami berjaya menang dalam kedua-dua perlawanan yang dilalui, jadi kami perlu berhati-hati,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!