Bandar Da Nang jadi projek rintis sambut pengunjung antarabangsa

Pusat bandar Da Nang di Vietnam akan jadi bandar pertama di negara itu dalam satu projek rintis untuk sambut pengunjung antarabangsa mulai November. - Foto 123RF
Pusat bandar Da Nang di Vietnam akan jadi bandar pertama di negara itu dalam satu projek rintis untuk sambut pengunjung antarabangsa mulai November. - Foto 123RF
A
A
A

HANOI - Pusat bandar Da Nang di Vietnam akan menjadi bandar pertama di negara itu dalam satu projek rintis untuk menyambut pengunjung antarabangsa mulai November, menurut Pengarah Jabatan Pelancongan Perbandaran Truong Thi Hong Hanh.

Hanh pada Rabu mengatakan bandar itu telah menyiapkan rancangan pemulihan ekonomi, termasuk menyambung semula aktiviti pelancongan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Bagi tempoh jangka pendek, Jabatan Pelancongan perbandaran telah menyerahkan kepada Jawatankuasa Perbandaran Awam pelan pembukaan semula kepada pelancong, kata Hanh.

Rancangan ini menyasarkan pengunjung komersial dan rakyat Vietnam di luar negeri yang memasuki Vietnam untuk urusan perniagaan atau mengunjungi keluarga, dengan memfokuskan pasaran Rusia dan Korea Selatan.

Sementara itu, rancangan untuk menyambut pengunjung domestik akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Kegiatan pelancongan akan dibuka kepada penduduk tempatan mulai 20 Oktober. Pada November, bandar ini akan mewujudkan model gelembung pelancongan antara Da Nang dan beberapa kawasan lain.

Fasa ketiga akan dilaksanakan apabila kerajaan membenarkan semula semua aktiviti dengan norma baharu di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!