Agrobank tawar pembiayaan percepat teknologi industri pertanian
AGROBANK akan menawarkan penyelesaian pembiayaan kewangan yang komprehensif dan pada masa yang sama menyokong mempercepatkan teknologi digital dalam industri pertanian serta penerapan amalan pertanian moden.
Institusi kewangan pembangunan (DFI) itu berkata, ini adalah sebahagian daripada visinya untuk kelangsungan industri pertanian menerusi pelan perniagaan strategik lima tahun dari 2021-2025 yang dilancarkan baru-baru ini.
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Khadijah Iskandar berkata, bank baru-baru ini bekerjasama dengan Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) bagi menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10 juta bertujuan menyokong 200 usahawan sektor pertanian bagi mempercepatkan amalan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) untuk sektor ini.
“Pelbagai kerjasama dengan agensi dan penyedia teknologi dalam program pemecut menerusi aktiviti sandbox telah dimasukkan dalam pelaksanaan kami,” kata beliau dalam kenyataan.
“Dalam pelan perniagaan kami, ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami, dan kami ingin melakukan lebih daripada sekadar pembiayaan tradisional dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang menyokong agenda kerajaan dalam memodenkan sektor pertanian.”
Sebagai sebuah DFI dengan fokus untuk mengukuhkan sektor pertanian di Malaysia, Agrobank menawarkan akses penyelesaian kewangan yang holistik serta perkhidmatan melangkaui perbankan kepada pelbagai segmen komuniti pertanian.
Agrobank turut menyokong agenda negara bagi memodenkan sektor pertanian melalui pelbagai dana yang diterima daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pembangunan rantaian nilai pertanian seperti pembiayaan pemodenan kapal nelayan.
Khadijah muncul dalam sesi webinar Agro Talk pada Selasa, bersama dengan penceramah lain yang mendapati bahawa teknologi dan digitalisasi semakin mendapat tempat dalam mentransformasikan sektor pertanian.
Mereka menyatakan usahawan agro perlahan-lahan menceburi digitalisasi untuk meningkatkan hasil dan pengeluaran dan pada masa yang sama memenuhi keperluan segmen pengguna yang disasarkan melalui pelbagai platform e-dagang.
Berkongsi pandangan dengan Khadijah semasa webinar bertajuk Entrepreneurship in Malaysia - Redesigning Business Models for the Digital Economy, adalah CEO My Fundaction Afiq Nazary dan 1337 Ventures CEO Bikesh Lakhmichand.
Sesi ini dikendalikan oleh Karamjit Singh, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital News Asia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!