Balik kampung memang syok, SOP jangan lupa!

Di sebalik keghairahan dapat pulang ke kampung, rakyat tidak sepatutnya memandang enteng SOP yang perlu dipatuhi waima ketika di rumah ibu bapa. - Foto 123RF
Di sebalik keghairahan dapat pulang ke kampung, rakyat tidak sepatutnya memandang enteng SOP yang perlu dipatuhi waima ketika di rumah ibu bapa. - Foto 123RF
A
A
A

TANGGAL 11 Oktober lalu, seluruh rakyat Malaysia yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 sudah boleh merentas negeri atau pulang ke kampung halaman.

Maka, kelonggaran itu disambut dengan senyuman khususnya para pencari rezeki di perantauan. Bermula hari ini, dijangka lebih banyak pergerakan rentas negeri kerana ramai yang ingin pulang ke kampung.

Namun, di sebalik keghairahan itu, rakyat Malaysia tidak sepatutnya memandang enteng prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi waima ketika di rumah ibu bapa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Selasa mengingatkan bahawa tidak salah merentas negeri tetapi ‘tolong beringat’ dengan data-data unjuran dan pemerhatian kes jangkitan Covid-19 yang turut menjadi tajuk muka depan akhbar Sinar Harian pada Rabu.

Kata Khairy, Malaysia kini sedang menuruni puncak bencana dan kesengsaraan, sekali gus meminta rakyat sama-sama berganding bahu memutuskan rantaian jangkitan serta memastikan tiada lagi kes meningkat selepas musim ‘perayaan’ pulang ke kampung sepanjang tempoh ini.

Pesan Khairy: “Pakai pelitup muka, patuh SOP dan amalkan TRIIS #ReopeningSafel.”

Sementara itu, panglima pemusnah Covid-19 kesayangan kita iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu berkata, perjuangan melawan penularan Covid-19 belum berakhir.

Sebaliknya, tegas Dr Noor Hisham, Malaysia kini menuju ke arah fasa endemik atau di medan perang baharu dengan strategi baharu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Malaysia berjaya menjauhi musibah tetapi belum lagi keluar daripada bahaya dan hanya boleh memenangi ‘peperangan’ jika seluruh rakyat bersatu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk mematuhi SOP.

Dalam keseronokan merentas negeri untuk meraikan sambutan hari raya yang tertunda, masih ada lagi golongan yang belum lengkap vaksinasi acah-acah berani menyertai perarakan pulang ke kampung.

Jangan pandang remeh hal itu kerana sudah ada beberapa kenderaan diarah berpatah balik walaupun hampir sejengkal kenderaan mereka akan mencecah tanah kampung tercinta.

Hari pertama kelonggaran merentas negeri, seorang individu yang turut membawa ahli keluarganya dari luar Kelantan diarah berpatah balik selepas polis mengesan lelaki berkenaan tidak lengkap dos vaksinasi.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, perjalanan lelaki itu bersama keluarganya disekat pasukan keselamatan di sekatan jalan raya (SJR) sempadan Terengganu-Kelantan di Bukit Yong, Pasir Puteh.

Lain pula kisah mengenai dua dos vaksin yang penulis lalui beberapa hari lalu ketika menunggu giliran memasuki sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, Selangor. Satu keluarga yang diketuai si bapa bersama isteri dan dua anak lelaki yang masih bersekolah telah disekat oleh pengawal keselamatan di pintu masuk pusat beli-belah tersebut.

Mulanya, si pengawal yang kurang fasih berbahasa Melayu itu meminta ditunjukkan sijil lengkap vaksinasi dalam MySejahtera, namun wanita tersebut hanya mengeluarkan sekeping kertas berwarna kuning yang berisi maklumat telah divaksin. Seperti diduga, pengawal keselamatan tidak membenarkannya melepasi sekatan berkenaan.

Belum sempat pengawal keselamatan menunjukkan sekeping kertas A4 berisi syarat lengkap untuk pelanggan, terus sahaja dia ditempelak oleh ketua keluarga tersebut.

Katanya: “Tidak nampak ke kertas vaksin tu! Apa lagi kau nak?!” Mahu atau tidak, pengawal itu terpaksa membenarkan wanita berkenaan menyertai ahli keluarganya untuk membeli-belah.

Bukan sahaja di pusat beli-belah, sijil lengkap vaksinasi Covid-19 juga wajib kepada sesiapa yang ingin beriadah di taman-taman awam dan kawasan rekreasi seluruh negara.

Baru-baru ini, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff menegaskan bahawa orang ramai yang mengunjungi kawasan riadah akan diarah untuk beredar sekiranya tidak lengkap dua dos vaksin.

Jadi, janganlah degil sangat andai belum divaksin. Jika anda tertekan dengan penguatkuasaan melawan pandemik yang akan memasuki era endemik, ramai lagi individu yang lebih tertekan emosi dan fizikal mereka. Marilah sama-sama patuh SOP walau di mana anda berada!

* Nurbaya Abdul Rezak ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!