De Paula perlu beri persembahan terbaik

Wan Jamak bersetuju dengan tindakan Cheng Hoe memberikan peluang kepada de Paula dalam usaha mendapatkan semula rentak permainannya bagi membantu skuad negara.
Wan Jamak bersetuju dengan tindakan Cheng Hoe memberikan peluang kepada de Paula dalam usaha mendapatkan semula rentak permainannya bagi membantu skuad negara.
A
A
A

PEMAIN naturalisasi negara, Guilherme de Paula diharap tidak mempersia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dengan menampilkan aksi cemerlang pada pada Piala Suzuki AFF 2020.

Pendapat itu disuarakan bekas pengendali Harimau Malaya, Wan Jamak Wan Hassan yang menyifatkan de Paula perlu memberikan persembahan terbaiknya dalam usaha membalas kepercayaan dan peluang diberikan Cheng Hoe kepadanya

“Sebelum ini, kita tidak pernah bawa pemain naturalisasi beraksi bersama pasukan kecuali pada para kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan ketika itu banyak peluang diberikan kepada de Paula.

“Malangnya, persembahannya ketika itu dikatakan tidak menampakkan fungsi yang sepatutnya bagi seorang pemain naturalisasi.

“Jadi ini merupakan peluang kedua yang diberikan kepada de Paula untuk menunjukkan kemampuannya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Aksi hambar pemain berusia 34 tahun yang diturunkan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, termasuk aksi persahabatan menentang Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan (9 Oktober) mendapat kecaman netizen yang mahukan pemain kelahiran Brazil itu digugurkan bagi mengharungi perlawanan seterusnya.

Bagaimanapun pada Rabu, Cheng Hoe menegaskan bahawa dia masih menaruh harapan supaya de Paula dapat meyakinkan barisan kejurulatihan untuk disenaraikan untuk saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang dijadualkan berlangsung secara berpusat di Singapura mulai 5 Disember hingga 1 Januari 2022.

Tambah Wan Jamak, dia bersetuju dengan tindakan Cheng Hoe yang memberikan peluang kepada de Paula dalam usaha mendapatkan semula rentak permainannya bagi membantu skuad negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peluang yang diberikan Cheng Hoe kali ini diharapkan dapat membantu de Paula untuk beraksi dengan baik.

“Apa yang saya lihat, banyak peluang diberikan kepada de Paula, berbanding pemain naturalisasi lain. Bagi saya, de Paula tidak mempunyai pilihan selain membuktikan kemampuannya kali ini.

“Sebagai jurulatih sudah pasti Cheng Hoe hanya akan membawa barisan pemain terbaik tanpa mengira pemain naturalisasi mahu pun pemain tempatan,” katanya.

Sementara itu, Wan Jamak menyifatkan kritikan dalam kalangan penyokong dan netizen terhadap prestasi de Paula ketika ini sebenarnya adalah perkara biasa dalam bola sepak.

Katanya, diharapkan segala kritikan berkenaan dilihat daripada sudut positif dalam usaha memastikan de Paula sentiasa bersemangat untuk mewakili Harimau Malaya.

“Sebagai seorang pemain naturalisasi, sudah pasti harapan penyokong tinggi dan mahu menyaksikannya one step above daripada pemain tempatan. de Paula perlu membuktikan kemampuannya kali ini apatah lagi memanfaatkan peluang Cheng Hoe untuk beraksi bersama Harimau Malaya,” ujar Wan Jamak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!