‘Jangan panik, orang Lembah Klang dah boleh rentas negeri’

Nasib baik kali ini acara tahunan tersebut hadir ketika Perdana Menteri mengumumkan rentas negeri telah dibenarkan. - Foto Bernama
Nasib baik kali ini acara tahunan tersebut hadir ketika Perdana Menteri mengumumkan rentas negeri telah dibenarkan. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAIKAN tiada berkesudahan, acara wajib tahunan – tiada air kembali lagi menghantui rakyat Selangor dan Kuala Lumpur termasuklah Merak Jalanan. Bukan sehari tetapi berlangsung selama empat hari.

Alasan kali ini adalah untuk pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Maka, selepas dimaklumkan, persiapan pun dilakukan. Dah macam nak sambut hari raya sibuknya.

Segala tong, botol air, baldi, periuk, malah kolam mainan anak pun jadi tempat tadahan air. Asalkan boleh menampung air, semuanya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Disebabkan dah berpengalaman, jadi bab simpan air memang kepakaran kami.

Buktinya, pada tahun 2020 sahaja, orang Selangor dan Kuala Lumpur sudah melalui lapan kali gangguan air yang disebabkan oleh pencemaran air mentah. Lebih hebat lagi, masalah tiada air boleh berlaku setiap bulan ketika itu.

Nasib baik kali ini acara tahunan tersebut hadir ketika Perdana Menteri mengumumkan rentas negeri telah dibenarkan.

Jadi ada yang ambil jalan mudah pulang ke kampung halaman atau pergi melancong. Tak perlu nak bercatu air. Tak perlu nak pening kepala.

Artikel Berkaitan:

Namun, bagi yang tiada cuti atau mempunyai kekangan, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa layan sahaja acara menyimpan air.

Itu pun masih ada suara-suara yang minta agar orang-orang di Selangor dan Kuala Lumpur tidak panik. Keep calm, katanya.

Barangkali mereka fikir bagi yang menghuni apartmen atas kayangan seperti Merak Jalanan, stok air akan dihantar sehingga depan pintu rumah.

Lupakan jika lif rosak atau ahli keluarga ramai, semudah ABC. Ingatlah, ‘berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul’!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!