Pandelela mampu lebih menyerlah
RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dijangka terus bergiat aktif dalam sukan terjun menjelang persediaan mengharungi Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.
Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Mae Chen berkata, pihaknya yakin atlet berusia 28 tahun itu akan terus beraksi dalam sukan kegemarannya tersebut bagi tempoh beberapa tahun lagi.
“Buat masa ini saya yakin bahawa Pandelela akan terus aktif dalam sukan terjun. Lagi pun, kita sememangnya mahu melakukan persiapan rapi menjelang Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel pada 2022.
“Kita juga akan lihat perkembangan semasa pada 2023 dalam usaha untuk meneruskan persediaan kita menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sekiranya, semua perkara berjalan lancar, kita bakal menyaksikan Pandelela beraksi pada Paris 2024,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Untuk rekod, Pandelela pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat perak bersama rakannya, Cheong Jun Hoong di Olimpik Rio 2016 bagi acara 10 meter (m) platform selain memenangi gangsa pada Kejohanan Akuatik Dunia pada 2017.
Atas kecemerlangannya dalam sukan terjun, Pandelela dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun kelahiran ke-85, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud pada 9 Oktober lalu.
Sementara itu, Mae Chen berkata, pihaknya turut berbangga dengan anugerah yang diterima Pandelela tersebut berharap ia menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk terus memberikan aksi terbaik dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa depan.
“Sudah tentu, kita sangat berbangga dengan anugerah yang diterima Pandelela ini. Lagipun, dia memang layak menerimanya setelah berkorban dalam banyak perkara bagi memastikan kejayaan negara. Kita berharap agar dia terus aktif dalam sukan terjun dan besar harapan kita untuk beraksi di Olimpik Paris 2024,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!