Darren kembali temui sentuhan penyudah
PENYERANG PJ City FC, Darren Lok menganggap jaringan sulung yang diraih dalam perlawanan pertama Piala Malaysia tempoh hari membuktikan dirinya sudah mampu untuk bangkit semula selepas diketepikan dalam 13 perlawanan Liga Super susulan kecederaan di bahagian fibula.
Pemain berusia 30 tahun itu berehat panjang sejak April lalu sebelum kembali diturunkan dalam kesebelasan utama untuk dua perlawanan terakhir liga bulan lalu dan terus diberi kepercayaan memperkuatkan jentera serangan dalam saingan Piala Malaysia sekali gus meledak gol ketika menentang Sabah FC.
Nyata, ia satu permulaan yang baik untuk Darren kembali mencipta nama terutamanya dalam saingan berprestij ini bagi menamatkan musim 2021 dengan lebih cemerlang sepertimana yang dia telah lakukan pada awal musim dengan tiga jaringan peribadi sebelum dihimpit kecederaan serius.
“Rasa gembira apabila dapat kembali dan saya bersyukur sebab dah pulih sepenuhnya untuk menolong pasukan dalam saingan Piala Malaysia.
“Memang susah nak terima apabila saya cedera dalam tempoh saya sedang beraksi dengan baik pada awal musim, tetapi sekarang saya nak fokus untuk mengakhiri musim dengan lebih cemerlang dan ingin bantu pasukan sebaik mungkin.
“Yang penting, saya puas apabila dapat menjaringkan gol tempoh hari sebab sebagai penyerang, kita akan selalu dinilai daripada jaringan yang dibuat, cuma untuk saya, tidak kisah siapa pun yang meledak gol, saya hanya akan membantu apa jua cara untuk pasukan.
“Sebenarnya kita dapat tengok Mahalli Jasuli dan Khyril Muhymeen pun melakukan tugas cukup baik di bahagian serangan sewaktu saya cedera, cuma keputusan sahaja tidak memihak kepada kita sebelum ini dan harap untuk Piala Malaysia, kami semua dapat teruskan momentum yang ada”, jelasnya.
Perlawanan ketiga Piala Malaysia menyaksikan PJ City FC bakal berdepan Kelantan FC pada 29 Oktober ini.
Semestinya baki empat perlawanan terakhir ini cukup penting untuk memastikan mereka tidak lagi tercicir mata selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di mana Darren menjangkakan pertembungan yang lebih sengit akan berlaku dalam misi merebut slot ke suku akhir.
“Lawan Kelantan nanti pun bukan mudah dan kita tidak pandang rendah terhadap mereka sebab Kelantan juga merupakan pasukan yang kuat walaupun mereka pasukan dari Liga Premier.
“Kalau kita nak melangkah lebih jauh, kita memang kena menang dan pasukan juga sudah melakukan aksi persahabatan minggu lalu menentang UiTM FC sebagai persiapan.
“Selepas ini pun kita akan berdepan dua lagi perlawanan persahabatan dan diharapkan ia berguna untuk semua pemain perbaiki apa yang patut sebelum bertemu Kelantan FC nanti”, tambahnya.
PJ City FC kini di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan empat mata manakala JDT kekal di atas selepas menang dua perlawanan diikuti Sabah di tangga kedua dan Kelantan di tempat tercorot dengan satu mata sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!