Pusat Rehabilitasi Perkeso kembalikan senyuman kepada pesakit

Mohd Zoolfaiz (dua, kiri) memantau fisioterapi pesakit yang menggunakan Robot Suit Hybrid Assistive Limb. - Foto Bernama
Mohd Zoolfaiz (dua, kiri) memantau fisioterapi pesakit yang menggunakan Robot Suit Hybrid Assistive Limb. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Datang dalam keadaan diri yang penuh kesakitan, trauma dan sedih, namun mereka pulang dengan lebih ceria dan terukir senyuman.

Itu perubahan positif dinikmati Orang Berinsurans yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setelah menerima rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu.

Beroperasi sejak 28 Jun 2020, seramai 185 Orang Berinsurans telah menikmati manfaat yang disediakan Perkeso di pusat rehabilitasi tersebut yang terletak di Hotel Permai, Kuala Terengganu.

Mohd Zoolfaiz (dua, kanan) memantau fisioterapi yang dilakukan oleh pesakit. - Foto Bernama
Mohd Zoolfaiz (dua, kanan) memantau fisioterapi yang dilakukan oleh pesakit. - Foto Bernama

Tinjauan Bernama ke pusat rehabilitasi itu mendapati, Orang Berinsurans yang mengalami pelbagai jenis kecederaan dan penyakit, sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada Perkeso atas perkhidmatan yang diberi.

Hakmal Ismail, 46, disahkan mengalami angin ahmar pada sebelah kanan tubuhnya pada Mac tahun lepas, setelah mengalami kesakitan luar biasa ketika sedang menunaikan solat.

“Emosi sangat terganggu ketika itu kerana risaukan keadaan diri. Doktor mencadangkan agar saya menjalani rawatan pemulihan di pusat rehabilitasi ini. Alhamdulillah setelah lebih dua bulan, keupayaan fizikal saya bertambah baik sekarang.

“Lebih istimewa kerana Perkeso turut menanggung kos penginapan dan makanan secara percuma sepanjang saya mendapatkan rawatan pemulihan di hotel ini sejak 9 Ogos lepas. Fokus saya selepas ini mahu bekerja semula dan Perkeso juga akan membantu saya untuk mendapatkan pekerjaan sesuai,” katanya ketika ditemui Bernama pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Petugas kebersihan melakukan kerja-kerja sanitasi pada peralatan selepas digunakan oleh pesakit yang menjalani fisioterapi di Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu. - Foto Bernama
Petugas kebersihan melakukan kerja-kerja sanitasi pada peralatan selepas digunakan oleh pesakit yang menjalani fisioterapi di Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu. - Foto Bernama

Bagi Daniel Tan Kah Boon, 41, beliau sangat menghargai layanan mesra yang diberi oleh juruterapi profesional di pusat rehabilitasi tersebut, kerana banyak membantu dirinya sepanjang menjalani rawatan sejak tiga minggu lepas.

“Saya mengalami kemalangan jalan raya pada Februari lepas dan kesannya saya sukar berjalan, otot mengecut dan semakin lemah, malah pergerakan saya sangat terganggu kerana sentiasa perlu dibantu.

“Tidak lama selepas itu, saya dihubungi Perkeso yang memaklumkan saya boleh menjalani rawatan pemulihan di pusat rehabilitasi ini. Memang sangat bersyukur kerana ia percuma. Tak dapat saya bayangkan berapa banyak kos yang diperlukan sekiranya saya menjalani rawatan ini di pusat swasta yang lain,” katanya yang kini sudah boleh memandu dan membawa motosikal seperti biasa.

Seramai 185 Orang Berinsurans telah menikmati manfaat yang disediakan Perkeso di pusat rehabilitasi itu sejak beroperasi pada 28 Jun 2020. - Foto Bernama
Seramai 185 Orang Berinsurans telah menikmati manfaat yang disediakan Perkeso di pusat rehabilitasi itu sejak beroperasi pada 28 Jun 2020. - Foto Bernama

Pusat ini adalah satu-satunya pusat rehabilitasi satelit yang beroperasi di pantai timur dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan robotik yang tercanggih, bagi membantu proses rawatan rehabilitasi Orang Berinsurans.

Sementara itu, Pengurus Cawangan pusat rehabilitasi tersebut, Mohd Zoolfaiz Md Salleh berkata, antara perkhidmatan yang disediakan di pusat itu ialah fisioterapi, rehabilitasi neurologi menggunakan teknologi neuro-robotik terkini 'Cyberdyne' yang pertama di Asia Tenggara, pemulihan kecederaan saraf tunjang, terapi pertuturan dan terapi hidro.

Mohd Zoolfaiz - Foto Bernama
Mohd Zoolfaiz - Foto Bernama

“Selain itu, pusat ini turut menempatkan jururawat terlatih yang memberi perkhidmatan seperti penjagaan luka dan penilaian kesihatan seperti tekanan dan bacaan glukosa.

“Di sini kami menyediakan program rehabilitasi perubatan dan vokasional yang komprehensif dan intensif di bawah satu bumbung, untuk memastikan mereka yang mengalami kecederaan atau penyakit mampu kembali bekerja dan berdikari dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya. - Bernama

Pesakit menjalani fisioterapi dengan menggunakan Robot Suit Hybrid Assistive Limb ketika tinjauan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu. - Foto Bernama
Pesakit menjalani fisioterapi dengan menggunakan Robot Suit Hybrid Assistive Limb ketika tinjauan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu. - Foto Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!