Liverpool hilang khidmat Fabinho, Alisson
LIVERPOOL berkemungkinan kehilangan khidmat penjaga gol, Alisson Becker dan pemain tengahnya, Fabinho pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Watford di Vicarage Road pada Sabtu.
Kedua-dua pemain itu berada dalam skuad kebangsaan Brazil untuk aksi kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay di Amazon Arena pada pagi Jumaat yang menyaksikan kemungkinan mereka tidak sempat untuk pulang ke Anfield untuk aksi bertemu Watford.
"Saya percaya untuk perlawanan pertama menentang Watford ini akan menjadi sukar buat kami. Saya rasa saya tidak akan bermain begitu juga dengan Alisson.
"Perlawanan menentang Uruguay adalah pada Jumaat dan perlawanan menentang Watford pada Sabtu. Dengan kekangan perjalanan dan sebagainya, saya tidak tahu berapa banyak masa yang kami ada antara kedua-dua perlawanan itu," kata Fabinho kepada media Brazil.
Namun, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp bernasib baik apabila seorang lagi pemain Liverpool, Roberto Firmimo tidak disenaraikan dalam pasukan Brazil kali ini dan akan dapat membarisi skuad utama The Reds ketika menentang Watford.
Fabinho turut menjelaskan Liverpool sedang menimbangkan untuk menerbangkan dia dan Alisson terus ke Sepanyol untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid pada Rabu untuk mengelakkan kuarantin 10 hari jika mereka pulang ke England.
"Kami juga perlu kuarantin, tetapi kelab sedang memikirkan sama ada kami perlu terus ke Sepanyol untuk kuarantin di sana," katanya.
Ketiadaan kedua-dua pemain itu sudah tentu satu tamparan hebat buat The Reds yang mahu membalas dendam ke atas Watford selepas kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan pada Februari tahun lalu menyaksikan Liverpool tewas 0-3 yang sekali gus menamatkan rekod 44 kali tanpa kalah dalam saingan liga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!