Malaysia jana lebih RM7.2 bilion dalam Expo 2020 Dubai
PUTRAJAYA - Malaysia telah menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat yang berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan Expo 2020 Dubai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah potensi perdagangan dan pelaburan itu diperoleh menerusi 14 memorandum persefahaman (MoU), tiga surat niat (LoI) dan dua memorandum kerjasama (MoC) yang ditandatangani 14 syarikat Malaysia.
"Syarikat-syarikat luar negara tersebut berpangkalan di China, Mesir, India, Iran, Oman, Qatar, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, MoU tersebut antara lain merangkumi teknologi 'blockchain' dan 'Internet of Things' minyak dan gas, robotik dan automasi, penternakan akuatik dan bioteknologi, sektor berintensifkan teknologi, kenderaan udara tanpa pemandu, teknologi termal dan ultrasound serta bidang pembangunan dan penyelidikan teknologi pengekstrakan herba.
"LoI dan MoC pula melibatkan fabrikasi 1,000 unit modular rumah pintar hijau, pengedaran eksklusif kapal tanpa pemandu, sistem pertanian menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan ramalan penyelenggaraan bagi penyelesaian projek," katanya.
Beliau berkata, ia merupakan pencapaian amat positif sepanjang dua minggu pertama penyertaan Malaysia di ekspo mega ini ketika negara berada dalam fasa pemulihan pasca Covid-19.
"Dijangkakan momentum ini akan berterusan untuk 25 minggu akan datang dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terlibat sama," katanya.
Ismail Sabri berkata, bertemakan 'Energizing Sustainability', pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai turut mencatatkan lebih 50,000 pengunjung bermula 1 hingga 14 Oktober.
"Kerajaan juga yakin akan melepasi jumlah sasaran antara RM8 bilion hingga RM10 bilion, terutamanya potensi perniagaan dan perdagangan dalam ekspo selama enam bulan ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian yang menerajui penyertaan Malaysia ke Expo 2020 Dubai serta
Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) adalah agensi pelaksana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!