Lima operator bot pelancong ditahan positif dadah

Ayob Khan (tengah) ketika bertemu dengan operator bot pelancong yang dipanggil untuk jalani saringan ujian air kencing dan Covid-19 di IPD Mersing malam khamis.
Ayob Khan (tengah) ketika bertemu dengan operator bot pelancong yang dipanggil untuk jalani saringan ujian air kencing dan Covid-19 di IPD Mersing malam khamis.
A
A
A

MERSING - Polis menahan lima operator bot pelancong kerana didapati positif dadah selepas diarahkan melakukan ujian saringan air kencing menerusi Ops Gelora Khas Bersepadu Benteng Covid-19 di daerah ini pada malam Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lima lelaki berusia 22 hingga 33 tahun itu merupakan antara 92 operator bot pelancong yang turut diarahkan untuk berbuat demikian dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, operasi yang dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Laut itu sebagai persediaan keselamatan awal bagi menghadapi jumlah pelancong yang ramai ke Mersing.

“Dalam operasi malam ini, 95 syarikat membabitkan kira-kira 200 bot pelancong yang berdaftar dengan Majlis Daerah Mersing telah dipanggil dan diperiksa.

“Pemeriksaan ke atas semua operator bot pelancong membabitkan dua saringan iaitu ujian air kencing dan juga ujian Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing di sini pada malam Khamis.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan murka berhubung satu kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya dan sedang berada di bawah pengaruh dadah.

Kes berkenaan menyaksikan penahanan dua lelaki yang merupakan tekong bot dan awak-awak yang didapati positif dadah jenis methamphetamine ketika membawa penumpang menaiki pengangkutan air itu berhampiran Pulau Rawa.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, polis akan terus melakukan operasi seperti itu dari masa ke masa dan tidak mahu tindakan sedemikian hanya diambil selepas berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"Kita hendak pastikan perairan Mersing jadi tempat selamat buat pengunjung. Jadi pihak IPD dan IPK serta polis marin juga akan buat pemeriksaan di jeti-jeti bagi memastikan operator yang bergerak esok (hari ini) telah melakukan ujian saringan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Laut juga boleh mengambil tindakan untuk membatalkan lesen mana-mana operator bot pelancong yang tidak menjalani ujian saringan air kencing ketika memperbaharui lesen mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!