RM3 juta bantu 3,000 usahawan India
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk membantu hampir 3,000 usahawan India menerusi Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) sejak September 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, peruntukan itu bertujuan membantu golongan terbabit memperluaskan perniagaan mereka.
"Sebanyak RM1 juta diperuntukkan setiap tahun membabitkan dan sehingga kini hampir 3,000 peserta terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil dan Peralatan (Grow) kepada usahawan Sitham di Lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hasnul Baharuddin.
Sitham merupakan satu Program Pembangunan Usahawan India Selangor dan dalam Bahasa Tamilnya 'Selangor Inthiyar Thozhil Arvalar Maiyam' bertujuan menaik taraf kehidupan dan ekonomi menerusi pendapatan kemahiran sendiri.
Ia melahirkan usahawan India berkemahiran untuk menjadi usahawan mikro serta medium kepada masyarakat India yang berpotensimeningkatkan daya saing melalui latihan usahawan.
Jawatankuasa pemandunya terdiri daripada Rodziah sebagai Pengerusi, Exco Kerajaan negeri, Ganabatirau Veraman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George (Dun Sentosa) serta ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.
Program yang turut dilaksanakan oleh Sitham pula terdiri daripada Latihan Pembangunan Usahawan, Kursus Kemahiran dan Pembuatan, Grow adalah Program Bimbingan Perniagaan dan Geran Bantuan Peralatan Perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!