Sejadah pakai buang pertama di Pahang

Badli Shah (kiri) membantu salah seorang jemaah musafir menggunakan sejadah pakai buang.
Badli Shah (kiri) membantu salah seorang jemaah musafir menggunakan sejadah pakai buang.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Sejadah pakai buang? Bunyinya agak janggal, tetapi itulah kemudahan yang disediakan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini bagi kegunaan musafir untuk menunaikan solat.

Sejadah diperbuat daripada bahan 'Nonwoven Polypropylene' (NWPP) yang mesra alam itu adalah sumbangan daripada dermawan dan jemaah masjid berkenaan.

Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Badli Shah Aladdin berkata, sejadah itu disediakan khusus untuk musafir sejak minggu lalu bagi kemudahan mereka menunaikan solat.

Menurutnya, idea ini timbul selepas melihat keperluan jemaah yang kebanyakannya dalam kalangan musafir tidak membawa sejadah sendiri.

"Kalau sebelum ini, pihak masjid hanya menyediakan kemudahan seperti menjual sejadah baharu kepada jemaah dengan kadar bayaran minimum RM10 ringgit dan menawarkan sejadah terpakai kepada mereka yang tidak membawa sejadah.

"Tapi kini, kita menyediakan sejadah pakai buang atau 'single use' kepada musafir yang datang dan mahu mengerjakan solat di masjid terbabit. Inovasi ini kita ambil daripada masjid di Turki memandangkan kedua-dua negara ini, banyak menyediakan kemudahan sedemikian kepada para pelancong yang datang ke sana," katanya ketika ditemui di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini pada Jumaat.

Dua jemaah lelaki mengambil kesempatan menggunakan sejadah pakai buang ketika mengerjakan solat.
Dua jemaah lelaki mengambil kesempatan menggunakan sejadah pakai buang ketika mengerjakan solat.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, setakat ini hanya masjid negeri sahaja mengguna pakai kaedah itu dan ia masih belum diperluaskan ke masjid atau surau di Pahang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, melihat kepada situasi kini dengan pandemik Covid-19, penggunaan sejadah ini dilihat menjadi satu keperluan.

"Setakat ini, kita adalah masjid yang pertama menggunapakai kaedah ini kerana masjid ini sering dikunjungi ramai pelancongan berbanding di masjid-masjid lain.

"Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini kita perlu mengambil pendekatan berbeza bagi memudahkan urusan musafir untuk menjalani ibadah mereka ketika berkunjung ke sini," katanya.

Sementara itu, Badli Shah berkata, kos untuk membeli sejadah ini dianggarkan berharga RM450 bagi setiap 100 keping dan harganya jauh lebih murah serta saiznya yang lebih besar berbanding sejadah biasa.

"Kalau harga sejadah biasa antara RM8 hingga RM9 bagi setiap satu unit, tetapi dengan sejadah pakai buang ini kita boleh dapat dalam RM4 sahaja. Jadi, kita tiada masalah untuk menyediakan kemudahan tersebut.

"Kita juga ada menyediakan tabung dan jemaah boleh memberikan sumbangan seikhlas hati kerana apa yang diberikan (sumbangan) akan kembali semula kepada jemaah menerusi pelbagai aktiviti di masjid," ujarnya.

Seorang jemaah yang ditemui, Suhaimi Mobd Kasim, 35, memuji usaha murni masjid berkenaan yang dilihat begitu cakna terhadap masalah yang dihadapi para jemaah khususnya musafir.

Dia turut berharap kemudahan yang disediakan di masjid ini dicontohi masjid dan surau di seluruh Pahang.

"Kalau orang luar dari Kuantan tidak bawa sejadah, mereka boleh guna sejadah ini dan ia boleh menghindar daripada jangkitan Covid-19

"Kaedah ini juga memudahkan lagi urusan jemaah luar masuk ke daerah Kuantan untuk mengerjakan solat," katanya.

Bagi, Izzahtymus Saadah Nor Azman, 17, dia menyifatkan penggunaan sejadah pakai buang ini memudahkan jemaah luar untuk mengerjakan ibadah.

“Saya rasa pendekatan menggunakan sejadah ini sangat berbaloi kerana mereka yang terlupa membawa sejadah dapat menggunakannya dengan mudah," katanya.

Wan Idris Wan Ismail, 67, pula berterima kasih kepada pihak masjid negeri kerana menyediakan inisiatif sebegini sekali gus dilihat memberikan keselesaan kepada para jemaah khususnya musafir untuk menunaikan solat di masjid berkenaan.

Katanya, langkah itu wajar dicontohi masjid-masjid yang lain di seluruh negeri ini.

"Penggunaan sejadah ini lebih praktikal dan saya sebagai musafir tidak perlu bersusah payah untuk bawa sejadah sendiri dan ini lebih memudahkan khusus jemaah dari luar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!