Pimpinan Bersatu ziarah Abdul Hadi
SHAH ALAM - Beberapa pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat.
Perkara itu dikongsi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Menerusi hantaran itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) turut memaklumkan pertemuan berkenaan turut disertai Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.
Hamzah memberitahu beliau mengagumi semangat juang yang ditunjukkan Abdul Hadi dan turut berkongsi jawapan pemimpin itu ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya.
"Cantik jawapan beliau bila ditanya sihat ke Tok Guru (Abdul Hadi)? Mana boleh tak sihat, kitakan nak berjuang.
"Alhamdulillah, begitu bersemangat Tok Guru. Beliau juga nampak sihat," katanya.
Antara barisan kepimpinan Bersatu yang turut serta dalam pertemuan yang dipercayai berlangsung di Terengganu itu adalah Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!