Elemen kebudayaan jadi tarikan di lapangan terbang

Mohamaddin Ketapi (berdiri tengah) menyampaikan hadiah kepada kumpulan Sanggar Budaya Seri Pengkalan yang muncul sebagai pemenang Festival Tarian Tradisional (Tarian Rampaian) Malaysia 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. - Foto Bernama
Mohamaddin Ketapi (berdiri tengah) menyampaikan hadiah kepada kumpulan Sanggar Budaya Seri Pengkalan yang muncul sebagai pemenang Festival Tarian Tradisional (Tarian Rampaian) Malaysia 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Elemen kebudayaan akan menjadi antara tarikan utama pelancong yang tiba di setiap lapangan terbang di seluruh negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, elemen kebudayaan itu adalah merupakan tarian tradisional yang menjadi warisan rakyat di negara ini.

"Kita mahu pelancong yang berkunjung ke negara ini disambut dengan nilai budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

"Seperti yang telah dipersetujui pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin, beliau bersetuju untuk bersama-sama dengan kementerian bagi mempromosi kebudayaan di setiap balai ketibaan lapangan terbang seluruh negara yang dikendalikan MAHB," katanya yang ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Festival Tarian Tradisional Malaysia 2018 di KLIA.

Majlis tersebut adalah hasil kerjasama MAHB dan Majlis Belia Malaysia MBM yang disertai oleh kumpulan-kumpulan tarian budaya dari seluruh negara.

Menurut Mohamaddin MAHB juga bersetuju untuk melaksanakan elemen tarian kebudayaan itu bermula tahun hadapan.

" MAHB secara prinsipnya telah bersetuju untuk melaksanakan hasrat murni itu dan ia bakal dimulakan pada 2019.

"Kementerian akan menyalurkan sebarang kerjasama berkaitan kepada MAHB untuk merealisasikan inisiatif terbabit melalui agensi Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

"Kita ada kepakaran dalam bidang tarian tradisional ini dan saya yakin dengan usaha bersama MAHB ini akan merancakkan lagi promosi pelancongan negara," katanya.
Artikel Berkaitan:


Tambah Mohamaddin, beliau terbuka kepada sebarang cadangan dan kerjasama berkaitan promosi pelancongan, seni dan budaya dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita mahu pelancong yang datang ke negara ini melihat betapa uniknya negara kita ini dengan kepelbagaian budaya yang kita miliki selama ini.

"Saya sentiasa terbuka untuk sebarang kerjasama berkaitan kerana usaha mengangkat martabat budaya lebih berkesan dengan penglibatan semua pihak yang tidak hanya GLC dan pihak swasta malah dari NGO.

"Kita mahu pelancong yang datang tidak hanya pulang dengan membawa balik buah tangan tetapi membawa bersama perkongsian unik budaya kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!