Jemaah di Kelantan syukur dapat laksana solat Jumaat

Jemaah mengimbas kod QR MySejahtera sebelum masuk ke ruang solat ketika tinjauan Bernama di Masjid Muhammadi hari ini. - 
Foto Bernama
Jemaah mengimbas kod QR MySejahtera sebelum masuk ke ruang solat ketika tinjauan Bernama di Masjid Muhammadi hari ini. - 
Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Penduduk di daerah ini meluahkan rasa syukur apabila dapat kembali menunaikan solat Jumaat di masjid hari ini setelah sekian lama tidak berpeluang menjejakkan kaki ke rumah ibadat susulan pandemik Covid-19.

Kelantan yang kini dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan had bilangan jemaah untuk menunaikan solat fardu lima waktu termasuk solat Jumaat mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musala di seluruh negeri itu.

Tinjauan Bernama di Masjid Muhammadi di sini mendapati lebih 700 jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan masing-masing menunjukkan sijil digital lengkap vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera kepada petugas di pintu masuk masjid itu.

Selain itu kelihatan kedudukan antara para jemaah adalah berdasarkan penjarakan fizikal 1.5 meter malah sebelum memasuki perkarangan masjid itu, mereka juga membuat pemeriksaan suhu badan serta membawa sejadah sendiri bagi menunaikan solat Jumaat.

Seorang jemaah yang ditemui Bernama, Rozman Abdul Razak, 49, berkata kebenaran yang diberikan itu perlu disambut baik oleh seluruh penduduk di negeri ini kerana selama ini bilangan jemaah untuk solat di masjid amat terhad.

"Kita perlu gunakan sepenuhnya kebenaran solat kali ini dengan baik dan laksanakan apa jua peraturan yang dikenakan sebaik mungkin," kata Rozman yang berasal dari Kuala Krai.

Bagi Shaari Isyak, 63, pula suasana di masjid pada solat Jumaat hari ini berbeza apabila jemaah dibenarkan menunaikan solat mengikut kapasiti sebenar masjid.

"Sudah tentu saya gembira dan bersyukur kerana dapat ke masjid untuk solat Jumaat. Saya berdoa agar wabak Covid-19 segera berakhir supaya jemaah dapat menunaikan solat seperti biasa (di masjid)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini hanya empat jemaah termasuk imam dibenarkan menunaikan solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau di negeri ini dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!