Aliran trafik Negeri Sembilan meningkat 28 peratus
PORT DICKSON - Aliran trafik di Negeri Sembilan meningkat lebih 28 peratus susulan kebenaran merentas negeri pada Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, ini disebabkan orang ramai mula kembali ke kampung halaman masing-masing selain bercuti ke pusat pelancongan di negeri ini terutama Port Dickson.
"Empat hari sebelum kebenaran tersebut diumumkan, sebanyak 361,140 kenderaan direkodkan di susur keluar Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Lebuhraya Utara- Selatan di negeri ini.
"Sebanyak 463,542 kenderaan pula direkodkan di lokasi sama selepas empat hari rentas negeri dibenarkan dengan pertambahan sebanyak 28.9 peratus," katanya kepada pemberita sempena Ops Lancar Negeri Sembilan di Batu 4, Jalan Pantai di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai aliran trafik di Port Dickson, beliau berkata, orang ramai sudah mula mengunjungi kawasan pelancongan itu, namun aliran trafik masih berada dalam keadaan terkawal.
"Memang ramai yang datang ke Port Dickson pada hari ini, namun aliran trafik adalah terkawal berikutan kita telah menempatkan anggota trafik untuk membuat pemantauan di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!