Sabah beralih ke fasa tiga mulai Isnin

Masidi
Masidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah layak beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun memaklumkan, perkara itu melalui Twitter miliknya pada Jumaat dan berdasarkan laman sesawang PPN, tiga indikator utama penentuan nilai ambang PPN ialah purata kes harian Covid-19, penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi dan peratusan populasi layak yang divaksinasi sepenuhnya.

“Sabah layak beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa 18.10.2021,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Masidi berkata, daripada 720 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, 96.25 peratus adalah kategori satu dan dua manakala bakinya kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata, daripada jumlah kes direkodkan hari ini juga, 253 kes atau 35.14 peratus dikesan melalui saringan bergejala sekali gus menunjukkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk belum begitu memuaskan.

"Walaupun agak sukar untuk meramalkan trend perubahan kes bagi daerah-daerah di Sabah dalam masa terdekat, namun, trend kumulatif jangkitan dalam tempoh 14 hari menampakkan trend pelandaian," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!