Rimau Muda jinakkan Harimau Kumbang
SKUAD Harimau Muda Bawah 23 (B-23) tahun negara akhirnya melakar kemenangan pertama dalam siri persahabatan menjelang Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 apabila menewaskan kelab Liga Super, Penang FC, 2-1 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Subang Jaya, pada Jumaat.
Tampil dengan semangat lebih positif selepas dijinakkan 1-2 oleh juara Liga Premier, Negeri Sembilan FC pada Rabu lalu, anak didik Brad Maloney terlebih dulu ketinggalan hasil jaringan Amer Azahar pada minit ke-22 untuk kedudukan 1-0 babak pertama.
Bersambung babak kedua, Maloney melakukan perubahan taktikal berjaya mengimbangi asakan pemain lawan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi
Syafik Ismail pada minit ke-71' sebelum Nik Akif Syahiran Nik Mat mengesahkan kemenangan dengan gol pada minit ke-86'.
Skuad muda negara bakal menentang sebuah lagi kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC pada Isnin ini bagi melengkapkan siri perlawanan persahabatan sebagai persiapan menjelang Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia hujung bulan ini.
Untuk rekod, skuad Maloney diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Thailand dan Mongolia menyasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi meraih slot automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!