Penyudah Samba tajam serangan Melaka United

Kehadiran Giovane dan Adriano menjadikan bahagian serangan Melaka United kembali digeruni. FOTO: Melaka United Football Club
Kehadiran Giovane dan Adriano menjadikan bahagian serangan Melaka United kembali digeruni. FOTO: Melaka United Football Club
A
A
A

KEHADIRAN dua penyerang dari Brazil, Adriano dan Giovane Gomes pada pintu perpindahan kedua pemain nyata memberikan impak pada kualiti serangan Melaka United FC yang kian semakin menjadi pada kebelakangan ini.

Perkara itu dikongsikan pemain tengah Melaka United, Manuel Ott, yang berpendapat mereka berdua telah memberikan lebih banyak variasi serta transisi yang lebih baik semasa melakukan gerakan secara berpasukan.

Biarpun bercakap dalam bahasa yang berbeza, pemain kebangsaan Filipina itu berpendapat itu tidak menjadi halangan buat mereka dalam membina keserasian di atas padang.

“Kedua-duanya, Giovane dan Adriano telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dengan pasukan kerana sering kali mampu membuka ruang yang lebih banyak dalam situasi serangan.

“Mereka ada keupayaan untuk mengawal bola dalam kotak penalti terutamanya Adriano sebelum melakukan hantaran kepada rakan sepasukan selain ada persefahaman yang baik.

“Biarpun mereka berdua hanya boleh berbahasa Portugis, itu tidak menjadi masalah kepada saya untuk memahami corak permainan Giovane dan Adriano kerana dalam bola sepak, perkara itu tidak jadi halangan.

“Tidak dilupakan Sony Norde yang sentiasa konsisten serta nampak tajam dalam tiap perlawanan bagi membantu transisi yang baik dari bahagian pertahanan sehingga serangan,” katanya.

Setakat ini Adriano telah menyumbang tiga jaringan dan melakukan enam bantuan jaringan dalam 11 penampilan bersama Melaka United dalam pentas Piala Malaysia dan Liga Super sementara Giovane, satu jaringan serta satu bantuan jaringan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan statistik, sejak kehadiran Adriano dan Giovane, Melaka United hanya tewas tiga dari 11 perlawanan termasuk dalam dua perlawanan Piala Malaysia.

Mereka berdua hadir bagi menggantikan Alex dos Santos dan Stefan Nikolic yang digugurkan selepas gagal menghadirkan prestasi memberangsangkan.

Sementara itu, Ott yang menjadi pemain cukup menonjol dalam pentas TM Piala Malaysia setakat ini buat Melaka mengakui berpuas hati kerana dapat membantu pasukan bermula cemerlang di Kumpulan C.

Apa yang lebih penting baginya ialah kejayaan pasukan dan bukannya persembahan individu yang menjadi keutamaan buat Ott.

“Dalam dua perlawanan sebelum ini, saya tidak menjangka mampu menjaringkan gol buat pasukan kerana peranan saya lebih menjadi penggerak di bahagian tengah dan bukannya terlibat dalam kawasan penalti lawan.

“Saya gembira kerana cubaan dari jarak jauh saya lakukan berjaya menemui sasaran dalam beberapa perlawanan tetap apa paling buat saya teruja ialah dapat membantu pasukan meraih tiga mata.

“Tidak dinafikan jaringan saya lakukan semasa dengan Kedah adalah yang terbaik sepanjang bermain di Liga Malaysia dan harap saya boleh meneruskan rekod cemerlang Melaka pada baki perlawanan akan datang,” katanya.

Melaka memimpin Kumpulan C dengan pungutan enam mata maksimum selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dan Kedah Darul Aman, 3-1 di Stadium Darul Aman.

Mereka akan melayani kunjungan Kelantan United FC pada 29 Oktober di Stadium Hang Jebat pada aksi ketiga Kumpulan C.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!