UMNO, Pas, MCA, MIC buat laporan polis terhadap Guan Eng
KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO, Pas, MCA dan MIC membuat laporan polis berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa kerjasama UMNO-Pas ibarat 'perang' terhadap orang bukan Melayu.
Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, kira-kira jam 12.15 tengah hari ini.
Laporan polis itu dibuat, diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda MIC, R Thinalan dan wakil daripada Pemuda MCA dan Pas.
Kelmarin, UMNO dan Pas secara rasminya mengadakan pertemuan bersama bagi membincangkan hala tuju dan garis panduan kerjasama dua parti terbesar Melayu itu.
Mesyuarat perundingan yang berlangsung di ibu pejabat UMNO, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur itu turut dihadiri barisan pimpinan kedua-dua parti.
Guan Eng kemudiannya mendakwa kerjasama itu seperti UMNO dan Pas mengisytihar perang terhadap golongan bukan Melayu.
Selepas teruk menerima kecaman netizen, Guan Eng kemudiannya menukar kenyataannya itu.
Pelbagai pihak menuntut Guan Eng disiasat mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversinya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!