Pahang mula beri dos penggalak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada petugas kesihatannya secara berperingkat mulai hari ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebagai permulaan, pemberian dos penggalak vaksin jenis Pfizer telah diberikan kepada petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Pekan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan Hospital Jengka.

Selain hospital katanya, petugas kesihatan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) di Pekan, Temerloh, Bentong, Bera, Cameron Highlands, Raub dan Lipis turut menerima suntikan dos penggalak itu.

"Mengikut data yang kita peroleh setakat 5 petang ini, sejumlah 321 petugas di HTAA, Hospital Pekan dan HoSHAS sudah menerima suntikan tersebut. Pemberian dos penggalak ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain di negeri ini secara berperingkat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagi golongan warga emas dan komorbid, Dr Nor Azimi berkata, mereka akan diberikan dos penggalak dalam masa terdekat dan akan mendapat tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilaporkan berkata pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dengan matlamat memastikan tempoh perlindungan optimum diperoleh penerima vaksin Covid-19 di Malaysia.

Dos penggalak diberikan kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap, namun perlindungan itu menyusut dari semasa ke semasa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!