Tindakan tegas wajar diambil
SHAH ALAM - Sukar untuk menangani golongan antivaksin yang menjadi penyebar berita palsu dan penghasut, selagi tiada sebarang tindakan tegas yang diambil.
Pengerusi Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris bagaimanapun berkata, tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) membuat laporan polis terhadap kumpulan berkenaan menunjukkan komitmen untuk membanteras gerakan berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini isu membabitkan gerakan yang dibuat kumpulan antivaksin telah lama dibangkitkan dan turut disusuli dengan laporan polis namun tiada tindakan yang diambil.
"Kenyataan yang tegas oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar amat dialu-alukan. Ia menunjukkan komitmen untuk membanteras 'disinformation' yang menjejaskan kesihatan awam.
"'Carrrot and stick approach' perlu seimbang. Walaupun maklumat yang sahih telah disampaikan, libat urus (engagement) telah diberikan kepada berbagai segmen dengan berbagai insentif (carrot approach), penguatkuasaan untuk mengekang sebaran maklumat palsu (stick approach) juga perlu ditekankan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Firdaus menjelaskan, pandemik Covid-19 adalah unik berbanding pandemik lain yang sebelumnya.
Ujarnya, ditambah dengan cabaran infodemik di mana maklumat yang tanpa batas membuatkan masyarakat sukar untuk menentukan sama ada sesuatu maklumat itu palsu atau benar.
"Media sosial tidak bertindak menyebarkan maklumat yang sahih dan benar. Sebaliknya, algoritma menentukan apa yang disajikan kepada pengguna adalah maklumat yang mereka mahu, bukannya yang mereka perlu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!