Mintah mahu hadiahkan penyokong Terengganu kejuaraan Piala Malaysia

Foto Terengganu FC
Foto Terengganu FC
A
A
A

PENYERANG Terengganu FC II, Jordan Mintah semakin bersemangat untuk menjulang kejuaraan Piala Malaysia selepas mula memahami sejarah sebenar di sebalik trofi berprestij tertua negara tersebut.

Pemain kelahiran Ghana ini mengakui pada awalnya tidak mengetahui dengan lebih mendalam sejauh mana berprestijnya kejohanan Piala Malaysia ini sehinggalah penyokong-penyokong Terengganu mula memberi gambaran sebenar betapa besar ertinya trofi ini buat setiap pemain yang pernah memenanginya.

Justeru, Mintah merasakan inilah masa yang tepat untuknya memburu trofi ini buat penyokong-penyokong Terengganu yang nyata telah menanti selama 20 tahun selepas kali terakhir menjuarai Piala Malaysia pada 2010.

“Sebenarnya saya mula tahu mengenai sejarah Piala Malaysia ini apabila ada penyokong-penyokong yang mesej saya dan menceritakan kepada saya bahawa ini adalah kejohanan yang paling besar berbanding kejohanan lain.

“Jadi, mereka nak saya tolong pasukan untuk mendapatkan trofi ini dan juga memberitahu saya betapa istimewanya piala ini untuk mereka.

“Sudah pasti apabila saya tahu, saya semakin bersemangat untuk melakukan yang terbaik bagi menghadiahkan piala ini kepada penyokong sebab pada mulanya, saya tidak dapat gambaran sebenar sejauh mana bermaknanya piala ini.

“Sekarang saya sudah tahu bahawa kalau kita menang trofi ini, ia dianggap akan menjadi pencapaian terbaik untuk mana-mana kelab dan. pemain sekalipun,” jelasnya.

Foto Terengganu FC
Foto Terengganu FC

Artikel Berkaitan:

Mintah yang kini berlatih di bawah bimbingan Nafuzi Zain untuk bantu pasukan dalam Piala Malaysia beri jaminan tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi meskipun sebelum ini pernah dihimpit kecederaan.

Selaku penjaring terbanyak Liga Premier musim ini dengan 16 gol, pemain berusia 26 tahun ini akan cuba sebaik mungkin untuk cuba meledak jaringan sepertimana yang pernah dia lakukan ketika menggantikan David da Silva pada awal musim untuk meraih tiga jaringan di pentas Liga Super.

“Saya rasa disebabkan Covid-19 pada musim lepas, saya tidak begitu dikenali dan tidak pernah dipinjamkan ke skuad utama pun, jadi saya tidak ada peluang yang besar untuk menonjol.

“Tetapi berbeza untuk musim ini apabila mendapat kepercayaan Nafuzi Zain untuk bantu mereka pada awal musim dan kali ini pula di Piala Malaysia, jadi sudah tentu saya akan cuba yang terbaik.

“Saya akan berusaha bermati-matian untuk membantu pasukan dapatkan juga trofi ini di Terengganu,” tambahnya.

TFC kini di kedudukan teratas Kumpulan B Piala Malaysia selepas menang dua perlawanan berturut-turut dan akan menentang Perak FC pula pada 30 Oktober ini untuk perlawanan ketiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!