67 perumahan awam, PPR di Kuala Lumpur bakal terima lif baharu
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penduduk di 67 perumahan awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan projek perumahan rakyat (PPR) di ibu negara bakal menikmati kemudahan lif baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek penukaran lif berkenaan bakal dilaksanakan di bawah projek bernilai RM127 juta yang diperuntulkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Menurutnya, kerja-kerja penukaran lif-lif lama itu dijangka dimulakan pada awal tahun hadapan selepas proses perolehan selesai.
"Kerajaan memandang serius isu besar yang dihadapi penduduk melibatkan lif yang sudah lama. Projek ini akan bermula tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh maksimum dua tahun.
"Diharapkan dengan projek ini, dapat mengurangkan masalah dan isu berkaitan lif di PA DBKL dan PPR," katanya pada sidang media selepas Lawatan Turun Padang Meninjau Penyelenggaraan Lif di Perumahan Awam (PA) Seri Perak, Sentul, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, sebanyak RM8.4 juta diperuntuklan di PA Seri Perak bagi penukaran 14 unit lif di tujuh blok kediaman yang sudah berusia 35 tahun itu.
"Sebanyak RM1.8 juta lagi peruntukan tambahan juga telah disediakan bagi pelaksanaan kerja-kerja naik taraf sistem pendawaian elektrik di situ," katanya.
Jelas beliau, melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kerajaan memperuntukkan RM15 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaiki kemudahan seperti longkang, kaki lima, taman permainan kanak-kanak dan gelanggang futsal di semua PPR dan PA di Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!