Projek Lebuh Raya KBKK lewat 2 bulan kerana musim tengkujuh
KOTA BHARU - Projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) kini sedang disiapkan secara berperingkat sebelum ia dapat dimanfaatkan rakyat negeri ini secara keseluruhannya tiga hingga lima tahun lagi.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehingga kini, Pakej 2B melibatkan laluan Ketereh ke Kok Lanas di bawah projek KBKK hampir 76 peratus siap.
"Pakej ini (2B) diberikan pertambahan masa dan dari segi perbincangan yang kami lakukan, ia melibatkan cabaran keadaan semasa kerana cuaca di musim tengkujuh, saya sendiri beritahu yang bulan Mac tidak sempat siap.
"Namun kontraktor memberi jaminan untuk menyiapkan projek berkenaan pada Mei.
Jadi sebab itu kita kena cari jalan untuk bantu di peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor bagi memastikan projek ini siap tahun hadapan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Fadillah sebelum itu melakukan lawatan kerja ke Kelantan untuk meninjau pelaksanaan projek pembinaan CSR dan KBKK melibatkan Pakej 2B di Ketereh di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, peruntukan yang digunakan untuk Pakej 2B masih sama tanpa melibatkan sebarang pertambahan kos, bagaimanapun ia cuma melibatkan pertambahan masa sahaja.
Beliau juga memberitahu, antara masalah yang menyebabkan pertambahan masa berkenaan adalah isu pengambilan tanah yang sebahagiannya baru sahaja selesai, selain operasi yang perlu dihentikan seketika disebabkan pandemik Covid-19.
"Untuk KBKK, sehingga 30 September lalu, kami telah berjaya menyiapkan 13.9 kilometer daripada 67.6 kilometer iaitu 21 peratus melibatkan Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok dan Pakej 2A dari Kadok ke Ketereh.
"Bagi pelaksanaan projek KBKK 2021, kementerian telah memuktamadkan proses perolehan untuk tiga lagi subpakej melibatkan Pakej 2C iaitu Kok Lanas ke Machang dan Pakej 3A Machang ke Bukit Tiu sepanjang 19.13 kilometer dilaksanakan dalam satu kontrak.
"Selain itu, terdapat satu pakej KBKK iaitu Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab atau dahulunya dikenali sebagai Lebuhraya Rakyat yang masih di peringkat perancangan," katanya.
Mengikut perancangan, katanya, keseluruhan projek KBKK dan Jalan Central Spine akan disiapkan selewat-lewatnya pada akhir tahun 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!