Lebih 275,000 jawatan kosong didaftarkan di MyFutureJobs
MELAKA - Lebih 275,000 kekosongan jawatan aktif di seluruh negara didaftarkan menerusi Portal Pekerjaan Negara MyFutureJobs hingga 1 Okt lepas, menurut Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Justeru, beliau menyeru agar pencari kerja segera berdaftar di portal berkenaan dan memohon pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan.
"Berdasarkan data Portal Pekerjaan Negara MyFutureJobs, sebanyak 50,482 rakyat negara ini telah kehilangan pekerjaan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 795 orang dilaporkan telah kehilangan pekerjaan di Melaka dalam tempoh sama manakala kekosongan jawatan aktif yang ditawarkan di Melaka adalah sebanyak 8,500 kekosongan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Digital Melaka Careetrans 2021 dan Sambutan Jubli Emas 5o Tahun Perkeso pada Sabtu.
Karnival berlangsung selama sehari itu dirasmikan secara dalam talian oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Turut hadir Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman serta Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar.
Karnival Kerjaya Digital Melaka Careertrans 2021 menawarkan lebih 5,500 kekosongan jawatan melibatkan 21 majikan daripada pelbagai sektor pekerjaan berlangsung secara dalam talian pada Sabtu.
Mohammed Azman berkata, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri dalam usaha mewujudkan Pusat Kerjaya MyFutureJobs di Pejabat Daerah Melaka dalam masa terdekat bagi membantu pencari kerja terutama dari kawasan luar bandar untuk mendapatkan bantuan sokongan dalam pencarian pekerjaan.
"Kami percaya kewujudan kemudahan 'one-stop centre' ini akan dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan penempatan pekerjaan masyarakat tempatan," katanya.
Sementara itu, penerima manfaat Perkeso, Zaini Kaus, 43, berkata, pencen bulanan RM2,080 yang diterimanya membantu meringankan beban membesarkan enam anak berusia empat hingga 11 tahun selepas suaminya, Md Isa Mohd Noor, 42, yang bekerja sebagai pemandu lori buah kelapa sawit meninggal dunia akibat Covid-19 pada 6 September lepas.
"Alhamdulillah...syukur dan terima kasih kepada Perkeso kerana membantu memudahkan urusan penerimaan pencen dengan segera kerana pencen berkenaan amat penting kepada kami tujuh beranak memandangkan saya tidak bekerja.
"Wang ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk persekolahan anak-anak, perbelanjaan harian dan bayaran sewa rumah," katanya yang tinggal di Krubong Jaya di sini.
Selain pencen bulanan, dia turut menerima faedah pengurusan mayat sekali beri sebanyak RM2,000. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!