Rakyat tidak minat kerja ladang walaupun gaji lumayan: Zuraida
JITRA - Pendapatan agak lumayan yang ditawarkan oleh sektor perladangan terutama untuk kerja menuai, masih tidak mampu menarik minat warga tempatan untuk menjadikannya sebagai bidang kerja.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, disebabkan itu, sektor berkenaan menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja sehingga boleh menjejaskan hasil tuaian antaranya di ladang kelapa sawit.
"Kita kekurangan pekerja penuai, pekerja tempatan boleh buat kerja menuai juga jika mereka mahu, tetapi mereka kata kerja itu berat dan susah.
"Gaji pekerja ladang ini lumayan juga sebenarnya bergantung kepada syarikat, ada yang bayar gaji pokok RM1,200 tambah insentif, elaun kerja lebih masa boleh dapat lebih RM2,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemprosesan Biji Kenaf di Bandar Darul Aman dekat sini pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: 32,000 buruh asing mula masuk ke Malaysia
Sehubungan itu, katanya, baru-baru ini kerajaan memutuskan untuk membawa masuk 32,000 warga asing untuk bekerja di sektor perladangan selepas mendapati rakyat tempatan tidak mampu mengisi kekosongan dalam bidang itu.
Sebelum ini, Zuraida dilaporkan berkata, perkara itu telah diluluskan oleh Kabinet dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemasukan pekerja asing perlu disegerakan bagi meningkatkan eksport negara memandangkan harga komoditi kini menunjukkan peningkatan walaupun berada dalam pandemik Covid-19.
"Kalau tak bawa pekerja asing untuk tuai kelapa sawit misalnya ia akan terbiar dan kita akan rugi. Memandangkan harga komoditi tinggi kita kena 'catch up’ dan pekebun akan dapat hasil yang lebih.
"Hasil jualan minyak sawit dijangka akan naik kira-kira 40 peratus dan ia mampu memberi pulangan kira-kira RM20 bilion kepada negara sebelum hujung tahun ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!