Tiada pemain dijamin beraksi
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berkata, tidak ada mana-mana pemain yang diberikan jaminan untuk beraksi dalam kesebelasan utama skuad The Citizens itu biarpun penyerang, Raheem Sterling mendedahkan dia akan memikirkan mengenai masa depannya di Etihad sekiranya masih tidak mendapat minit permainan yang sewajarnya.
Menurut Guardiola, tidak ada pemain sering menjadi pilihannya untuk diturunkan pada kesemua perlawanan di bawah kendaliannya; malah Sterling juga hanya diberikan peluang untuk beraksi dalam satu perlawanan sahaja sejak saingan musim baharu bermula.
Justeru katanya, kenyataan yang dibuat Sterling itu agak mengejutkan kerana dia berani mempersoalkan mengenai kekerapannya beraksi untuk City setakat ini.
“Hakikatnya, Sterling ialah pemain kami dan harapnya dia akan menjadi seorang pemain yang benar-benar penting untuk pasukan ini.
“Kalau diikutkan, kesemua pemain mahu diberikan peluang untuk beraksi di sepanjang masa, tetapi saya tidak boleh menjanjikan perkara itu, bukan hanya untuk Sterling semata-mata, tetapi juga pemain lain.
“Saya bukannya pengurus yang hanya menurunkan kesebelasan pemain yang sama kerana kesemua pemain terlibat secara keseluruhannya,” katanya.
Pada sidang media Jumaat lalu, Sterling telah menegaskan bahawa dia tidak tahu menahu mengenai masa depannya di Etihad selain tidak diberikan banyak minit permainan oleh Guardiola.
Untuk rekod, Sterling masih memiliki kontrak selama 18 bulan di Etihad namun difahamkan segala syarat-syarat serta terma perjanjian baharu berkenaan masih belum didedahkan kepada pemain.
“Saya tidak terlibat dalam mana-mana kontrak sejak hari pertama kerana kesemuanya berada di bawah seliaan pihak kelab,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!