Sidang kemuncak Asean dijangka tumpu isu Covid-19

Sidang Kemuncak Asean ke-39 yang akan diadakan secara maya pada 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menumpukan agenda mengenai pandemik Covid-19. - Foto 123rf
Sidang Kemuncak Asean ke-39 yang akan diadakan secara maya pada 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menumpukan agenda mengenai pandemik Covid-19. - Foto 123rf
A
A
A

KUANTAN - Sidang Kemuncak Asean ke-39 yang akan diadakan secara maya pada 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menumpukan agenda mengenai pandemik Covid-19, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, pelbagai aspek meliputi vaksin dan gelembung perjalanan melibatkan negara anggota akan menjadi keutamaan sidang berkenaan.

"Isu Covid-19 tentunya menjadi agenda utama, perkara yang mungkin akan disentuh antaranya gelembung perjalanan dan pengiktirafan bersama mengenai sijil vaksinasi," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai agenda utama sidang kemuncak itu.

Beliau ditemui selepas mengadakan Program Dialog Pelaksanaan Projek Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) Parlimen Indera Mahkota di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Ketua Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Profesor Datuk Dr Denison Jayasooria.

Mengulas mengenai keputusan Asean yang menjemput wakil bukan politik dari Myanmar pada sidang itu kelak, Saifuddin berkata, Malaysia bersetuju dengan tindakan berkenaan.

"Semasa mesyuarat tergempar semalam, saya telah ulangi pendirian Malaysia agar tidak menjemput Ketua Junta menghadiri Sidang Kemuncak Asean, ada beberapa negara senada dengan kita namun ada yang pandangan sedikit berbeza.

"Maka semalam pengerusi mesyuarat cadang supaya tidak jemput Ketua Junta Myanmar, sebaliknya menjemput wakil bukan politik, dan terserah kepada pihak junta Myanmar nak tentukan siapa wakil itu.

“Kita langsung tak terfikir untuk keluarkan Myanmar daripada Asean, kita anggap Myanmar ada hak yang sama, tetapi pihak junta tidak beri kerjasama, maka Asean harus bertegas pertahankan kredibiliti dan integriti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan keputusan kerajaan menarik balik permohonan semakan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh dibuat ketika beliau belum dilantik sebagai Menteri Luar.

"Pihak kerajaan telah memberitahu ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) tarik balik permohonan semakan kes pada 28 Mei 2018, saya angkat sumpah sebagai Menteri Luar pada 2 Julai 2018...saya tidak terlibat dengan keputusan itu," jelasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini dilaporkan berkata, pasukan petugas khas akan diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa bagi membuat semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 bersama Pas dan Gerakan masih tidak mempunyai sebarang ketetapan serta berada di peringkat awal.

Mengenai pelaksanaan APPGM-SDG di Indera Mahkota, beliau yang juga Ahli Parlimen kawasan itu berkata, setakat ini terdapat tujuh projek dan program yang dicadangkan dengan peruntukan sehingga RM120,000 disalurkan oleh kerajaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!