Peneroka hilang ditemui mati dalam kenderaan
JEMPOL- Kehilangan seorang peneroka Felda sejak Jumaat akhirnya terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia dalam kenderaan pacuan empat roda di sebuah ladang kelapa sawit, Ladang Geddes pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, berkata, mangsa Md Jani Sulong, 66, ditemui oleh orang awam dalam kenderaan jenis Ford Ranger di lokasi berkenaan lalu melaporkan kejadian di Balai Polis Ladang Geddes pada jam 11.30 pagi.
"Siasatan awal mendapati mangsa adalah individu yang dimaklumkan kehilangannya di balai polis sama oleh ahli keluarganya.
"Hasil siasatan mendapati, mangsa sebelum itu terlibat dengan kemalangan pada Jumaat kira-kira jam 11 pagi semasa dia dalam perjalanan dari kedai hardware Ladang Gaddes menuju ke Felda Serting Hilir," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa dipercayai terbabas ke dalam kebun sawit dan melanggar pokok sawit. Akibat kemalangan berkenaan, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dipercayai sesak nafas.
Jelas beliau, mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat esok susulan menunggu keputusan Covid-19.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!