Poster burukkan pemimpin UMNO tindakan ketandusan modal
KUALA LUMPUR - Penularan satu poster yang mengaitkan beberapa nama pemimpin UMNO disifatkan sebagai tindakan ketandusan modal sesetengah pihak untuk memburukkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.
Menurut laporan UMNO Online, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menafikan dan membidas kandungan poster atau grafik berkenaan yang ditularkan di media sosial.
Menurutnya, poster itu memaparkan dakwaan berbunyi, '100 Hari Perdana Menteri: Kad laporan KPI Ahmad Maslan dibebaskan daripada pendakwaan, Rosmah dapat balik pasport untuk melancong ke Singapura dan Zahid dibenarkan untuk terbang ke Jerman dan kini Najib memohon untuk diberi semula pasportnya'.
Katanya, semua dakwaan yang dilemparkan itu berhubung keputusan yang dikeluarkan mahkamah.
“Ini keputusan mahkamah. Tidak ada campur tangan daripada mana-mana pihak khususnya dalam hal membabitkan perundangan,” katanya pada Sabtu.
Justeru itu, Shahril menegaskan, mana-mana pihak tidak sewajarnya menjulang perkara yang menjadi minat mereka sedangkan hal-hal lain diketepikan.
Pada masa sama, beliau turut menjelaskan kedudukan sebenar dakwaan yang dilempar menerusi poster itu.
Shahril menjelaskan, dalam kes melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agung UMNO itu bertindak melawan pendakwaan terhadapnya pada 2019 adalah disebabkan kompaun yang terlalu tinggi, iaitu sebanyak 50 kali ganda oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Beliau sanggup melawan keputusan tersebut di mahkamah. Namun, apabila jumlah kompaun berbalik kepada asal maka ia dipersetujui.
“Berkenaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula, beliau dibenarkan ke Jerman bagi mendapatkan rawatan sementara Datin Seri Rosmah Mansor pula adalah untuk menemani anak mereka Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!