Karya dan wilayah pengkaryaan
KEBERADAAN karya sastera tidak terlepas daripada adanya hubungan timbal balik antara pengkarya, masyarakat, dan pembaca.
Sosiologi pengkaryaan kerap berhubungan antara lingkaran kehidupan yang melingkungi pengkarya dengan institusi sastera itu sendiri.
Sastera berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya. Keadaan ini memberi kesan terhadap makna sastera kepada kehidupan manusia. Kesusasteraan mencerminkan manifestasi kesenian masyarakat melalui pelbagai olahan dan tautan estetika.
Tidak hairanlah rata-rata pengkaji mentakrifkan kesusasteraan sebagai ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Sastera diiktiraf peranannya sebagai seismograf kehidupan, iaitu bukan setakat mencatat malah menganalisis perihal manusia dan masyarakat.
Melalui sastera, masyarakat dapat mempelajari sejarah untuk belajar meningkatkan kehidupan ke arah yang lebih baik. Kedapatan sarjana yang meletakkan sastera lebih tinggi berbanding dengan sejarah kerana pada pandangan kelompok ini, sastera dapat meramalkan masa hadapan sesebuah masyarakat berdasarkan sifat sastera yang mampu menembusi sebarang batas kemungkinan.
Ini bermaksud sastera tidak bersifat pegun dan sesebuah karya, pengkarya dan pengkaryaan boleh berubah bila-bila masa sahaja mengikut dinamika masyarakat dan kehendak pembaca.
Dalam pengkajian teknik-teknik sastera terdapat apa yang dinamakan sebagai sudut pandang orang pertama, kedua, ketiga dan sebagainya. Begitu juga terdapat apa yang disebut sebagai sudut pandang serba tahu.
Dalam hal ini pengkarya bertindak sebagai ‘pengarah’ yang mencipta segala aksi lakon watak-wataknya serta segala sebab akibat dan penyebab kepada semua peristiwa dalam karya-karya mereka. Pengkarya juga boleh menjadi seorang dalang yang menggerakkan patung-patung wayangnya di atas pentas buluh atau konkrit mengikut plot cerita sama ada yang terakam sebagai teks di atas kertas atau naratif di dalam alir pemikirannya.
Idea dan cerita
Sudut pandang selalunya dikaji dalam melihat sisi dan jurus pergerakan idea dan cerita. Namun perkara yang lebih penting untuk dilihat ialah bagaimana sudut pandang ini juga memunculkan apa yang dinamakan ‘wilayah kekuasaan’ terhadap karyanya.
Wilayah kekuasaan pengkarya dapat dilihat sebagai suatu bentuk dialektika autoriti dalam konsep panopticon yang dikemukakan oleh Michel Foucault. Walaupun panopticon dikemukakan Foucault hanya satu sudut untuk melihat sikap kekuasaan, tetapi ia memungkinkan pemahaman terhadap bagaimana kekuasaan pengkarya terhadap karyanya dapat dihubungkan dengan keberadaan sistem sosial, politik, ekonomi dan budaya yang menjadi locus kepada keberadaan pengkarya itu sendiri dalam realiti masyarakat.
Foucault menyebut wilayah kekuasaan pengkarya sebagai kuasa mengatur suasana sosial dan budaya, malah mengatur siapa yang boleh berbicara, di mana dan bila di dalam karyanya. Foucault tidak menyebut wilayah kekuasaan sebagai kekuatan pengendali terpusat, tetapi menyebutnya sebagai tersebar kepada semua peringkat pembentukan sosial dan kekuasaan bersifat generatif yang bererti menghasilkan hubungan-hubungan antara sosial dan identiti.
Wilayah kekuasaan pengkarya ini juga mewujudkan perlawanan terhadap autoriti teks luaran dengan mengemukakan teks dalaman sebagai penyalur pemikiran dan wacananya. Dalam hal ini, Malim Ghozali PK menyebutkannya sebagai pertembungan teks dan subteks. Pembaca yang baik dan bijak seharusnya tidak sekadar membaca teks tetapi perlu menerokai subteks di dalam sesebuah karya untuk menemukan jati diri pengkarya dalam pengkaryaan tersebut.
Wilayah pengkaryaan mewujudkan simbolisme yang tersendiri dalam mengacu pemaknaan karya, yang akhirnya mewujudkan arena perjuangan dalam menentukan makna kebenaran sebagai matlamat akhir sesebuah karya dan pengkaryaan.
Lingkungan dan lingkaran pengaruh karya dalam apa yang dikemukakan oleh Foucault melahirkan pengkarya yang berkuasa ke atas teks. Wilayah ini melahirkan keseimbangan baharu setelah meruntuhkan keseimbangan lama yang adakalanya mempunyai sisi negatif dan sisi positif. Sisi negatif memperlihatkan keseimbangan baharu ini bertindak sebagai suatu bentuk dekonstruksi yang meruntuhkan keseimbangan lama termasuk menyerang nilai, norma dan prinsip sedia ada.
Keseimbangan
Sisi positif lebih melihat kepada pembentukan keseimbangan baharu melalui rekonstruksi nilai, norma dan prinsip; sekali gus pemurnian terhadap nilai- nilai tersebut. Secara keseluruhannya kekuasaan pengkarya dan pengkaryaan memungkinkan pengkarya mencipta makna baharu lingkungan yang ditempati mereka melalui karya dihasilkan.
Kekuasaan pengkarya ke atas teks dapat dilihat sebagai pengawal yang mempunyai kekuasaan tidak kelihatan. Pengkarya mewujudkan sebuah dunia yang dicipta sendiri dan memasukkan pembaca ke dalamnya menjadi pemeran tambahan sebagai mata dan tubuh tambahan.
Pengkaryaan yang berkesan akan berjaya membina sebuah ‘dunia baharu’ dalam memperihalkan tentang watak dan perwatakan; yang dikawal olehnya. Apa yang dimaksudkan ialah bagaimana karya wujud sebagai sebuah ‘penggambaran’ dunia atau kehidupan yang dilihat dari sudut pandangan pengkarya. Ia wujud sebagai sebuah naskhah lakon hidup dengan watak, latar, peristiwa dan cerita menjadi subjek yang dikawal oleh pengkarya.
Fungsinya bukan sekadar untuk mewujudkan cerita demi menghiburkan pembaca; tetapi lebih besar daripada itu tujuannya ialah mengatur suasana sosial dan budaya, lalu menghasilkan hubungan antara entiti atau kehidupan yang digambarkan itu dengan identiti.
Dalam wilayah karyanya, pengkarya menjadi raja dan pemerintah membangunkan autoriti pemerintahannya. Pengkarya bukan lagi pengguna dan pengikut sistem sedia ada tetapi bertindak untuk membangunkan negara baharu, atau keseimbangan baharu dalam konteks hubungannya dengan kehidupan atau perjuangan demi rakyat jelatanya (pembaca).
Kekuasaan pengkarya wujud melalui suatu bentuk disiplin kekuasaan; dalam konteks panopticon melalui tahapan pemerhatian hierarkikal, penyederhanaan pengadilan dan pemeriksaan. Secara khusus ia juga memperlihatkan kekuasaan pengkarya sebagai hubungan ilmu pengetahuan dengan kekuasaan dan pembaca.
Wilayah kekuasaan pengkarya menjadi suatu hal yang sangat positif dalam mewujudkan sebuah karya kesusasteraan tinggi. Pengkarya bukan sahaja mengawal dan mengatur cerita, tetapi mencipta satu bentuk mikrokosmos lingkungan pengkaryaannya.
Kekuasaan pengkaryaan yang ampuh secara tidak langsung juga mengatur lingkungan sosial melalui ideologi dan pemikiran. Pemikiran yang ampuh dan jitu, disokong gaya naratif yang dicipta khusus akan menjadi bijana yang muat dan padan bagi ruang pemikiran pembaca.
* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Penyair Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!