11 pemandu mabuk, 5 samseng jalanan ditahan

Antara individu yang diambil tindakan menerusi Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal di beberapa lokasi utama sekitar ibu kota bermula pada Jumaat sehingga awal pagi Ahad.
Antara individu yang diambil tindakan menerusi Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal di beberapa lokasi utama sekitar ibu kota bermula pada Jumaat sehingga awal pagi Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 16 individu diberkas atas pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal di beberapa lokasi utama sekitar ibu kota bermula Jumaat hingga awal pagi Ahad.

Operasi yang bermula dari jam 9 malam dan tamat kira-kira jam 4 pagi dilakukan di sekitar pusat bandar, Jalan Bangsar, Jalan Tun Razak Jalan Raja Laut (hala Sentul dan hala Chow Kit ), Lebuhraya DUKE dan Lebuhraya NPE.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, seramai 11 lelaki berumur dalam lingkungan 21 hingga 51 tahun ditahan di bawah Sek 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, bagi Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya NPE dan di Lebuhraya DUKE pula menahan seramai lima lelaki kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig - zag, roket, Superman serta bersaing.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 15 hingga 22 tahun dan kes akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, operasi dilakukan Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/ Operasi JSPT KL membabitkan lapan pegawai dan 81 anggota polis.

Katanya, melalui operasi itu juga sebanyak 358 jumlah saman telah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

"Operasi akan terus dipertingkatkan pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!