Tubuh Biro Warga Emas sebagai persediaan Malaysia 'negara tua'
SHAH ALAM - Kerajaan disaran menubuhkan Biro Warga Emas sebagai platform untuk menyediakan segala bentuk perlindungan yang diperlukan rakyat yang berusia.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia demi persediaan Malaysia berdepan cabaran sebagai sebuah negara tua apabila 15 peratus penduduk akan berumur dalam lingkungan 60 tahun ke atas dalam tempoh kurang 10 tahun akan datang.
Menurutnya, negara bakal berdepan cabaran yang lebih besar melibatkan bahagian perubatan, industri perkhidmatan dan ahli keluarga untuk memenuhi keperluan masa depan warga emas.
"Persoalannya kini, adakah kita cukup bersedia untuk apa yang akan terjadi? Sudah banyak isu yang kita hadapi dan jika kita tidak mengatasinya sekarang, masalahnya akan berlipat ganda pada tahun 2030.
"Kesihatan adalah masalah utama bagi hampir semua orang yang berusia 60 tahun ke atas. Kerajaan harus memberi mereka pemeriksaan perubatan tahunan percuma dan keutamaan rawatan di hospital kerajaan.
"Ini harus ditambah dengan pemberian alat bantuan kesihatan seperti alat bantuan pendengaran, cermin mata, kerusi roda dan gigi palsu yang memerlukan pembiayaan subsidi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kebanyakan warga emas ujar beliau, terutama yang berada dalam kumpulan B40 akan mengalami masalah kewangan kerana golongan itu dijangka tidak akan mempunyai banyak simpanan.
Katanya, sebagaimana laporan mengatakan sekurang-kurangnya separuh daripada pencarum KWSP akan mempunyai simpanan hanya RM10,000 pada usia persaraan.
"Ini sangat tidak mencukupi bila dibandingkan dengan kos sara hidup hari ini. Justeru, kita perlu ada mekanisme keselamatan sosial untuk membantu mereka dalam kes seperti itu.
"Ini termasuklah subsidi atau potongan khas untuk bahan makanan, bil utiliti dan perkhidmatan penting yang lain," katanya.
Ujar beliau lagi, populasi warga tua juga terdedah kepada penipuan kewangan berikutan peningkatan kes penganiayaan kewangan (financial abuse) warga emas memerlukan program khas memastikan keselamatan mereka dilindungi.
"Kira-kira satu daripada setiap 100 warga emas di Malaysia telah mengalami penganiayaan kewangan sama oleh mereka yang dikenali atau orang asing seperti yang dilaporkan menurut National Health and Morbidity Survey (2018).
"Sehubungan itu, program berkenaan mesti dilaksanakan untuk membantu warga emas memahami literasi teknologi digital dan melengkapkan mereka dengan kemahiran serta pengetahuan menguruskan ruang digital," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!