Dua OKU cacat penglihatan bakal cipta rekod ekspedisi kayak

A
A
A

KAMPAR - Dua anak muda cacat penglihatan bakal memahat nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila menjadi orang kelainan upaya (OKU) pertama menyertai ekspedisi kayak di Sungai Perak, 5 November depan.

Ekspedisi Dayungan Duo sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu menyaksikan pembabitan Khairruddin Mazli, 30, dan Muhamad Shahrizal Ismail, 24, merentasi sungai sejauh 22 kilometer bermula dari Kem Intan Suraya, Sungai Siput dan berakhir di Jambatan Victoria, Karai di Kuala Kangsar.

Kedua-dua mereka adalah peserta kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) OKU refleksologi di bawah pemantauan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) telah memulakan latihan fizikal sejak sebulan lalu menerusi bimbingan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kampar, Yusnizan Md Yusof dan pendayung solo negara, Nur Adilla Abu Hassan.

Khairruddin yang mengalami cacat penglihatan sejak berusia 17 tahun mengakui suka mencabar diri melakukan aktiviti sukan sama seperti individu normal lain.

Dia yang pernah menyertai pasukan bola sepak paralimpik negara tidak berdepan kesukaran menjalani latihan insentif dalam air dan gimnasium sebagai persediaan misi dayungan itu.

"Mula-mula sahaja macam susah, tetapi bila dah selalu berlatih jadi dah biasa. Sekarang nak pegang pedal dan cara dayungan pun dah tahu.

"Sempena sambutan Hari Sukan Negara yang lepas, saya ada dijemput ke Pulau Langkawi untuk sertai ekspedisi kayak di sana, jadi secara tak langsung membuatkan saya lebih yakin untuk menghadapi misi kali ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Anak keempat daripada enam beradik yang menetap di Meru Raya, Ipoh itu berkata, latihan dijalankan setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk latihan kayak dan sesi petang bagi latihan ketahanan fizikal di gimnasium.

Artikel Berkaitan:

"Misi kali ini memang agak sukar kerana hanya membabitkan dua peserta sahaja, tetapi kami yakin mampu lakukannya, doakan kami berjaya," katanya.

Muhamad Shahrizal yang cacat penglihatan sejak lahir menganggap misi dayungan ini sebagai platform membuktikan kemampuan diri supaya dapat dijadikan contoh kepada OKU lain.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu sebelum ini belum pernah menyertai mana-mana aktiviti sukan dan hanya aktif dalam perniagaan menjual kuih loyang dan membuka pusat refleksologi sendiri di Batu Kurau.

"Keluarga amat menyokong penyertaan saya dalam aktiviti kayak ini, walaupun ada yang risau dengan keadaan diri saya, tetapi mereka tetap beri semangat.

"Jurulatih sangat memahami kekurangan kami dan sedaya upaya memberi tunjuk ajar yang terbaik. Alhamdulillah, saya semakin bersedia untuk berdepan misi ini," katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, misi dayungan duo itu ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri dengan fasiliti latihan seperti gimnasium, kayak dan peralatan latihan disediakan Jabatan Belia dan Sukan di Kompleks Rakan Muda Kampar.

Katanya, keberkesanan misi itu nanti akan dijadikan kayu ukur terhadap pelaksanaan program pembangunan bagi golongan TVET OKU di negeri ini.

"Kita harap usaha kedua-dua peserta ini akan membuka mata banyak pihak dan menjadi langkah permulaan dalam usaha memartabatkan golongan OKU seiring dengan pembangunan negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!