Kanak-kanak tiga tahun maut

No Image Caption
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas motosikal dinaiki bersama abangnya melanggar sebatang pokok di Jalan Sentral 28, Taman Nusa Sentral, di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Izharul Haq Abdul Mutalib disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Manakala abangnya, Muhammad Huzair Al-Hakim, 15, cedera parah pada kepala dan kini masih dalam keadaan koma dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzhulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menaiki motosikal jenis Honda EX5 menuju ke Jalan Sentral 27.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, abangnya dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke bahu kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok.

"Akibat pelanggaran itu, kanak-kanak berusia tiga tahun yang duduk di bahagian bakul hadapan motosikal serta abangnya tercampak dan mengalami kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzhulkhairi berkata, siasatan awal mendapati remaja yang menunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu dan tidak memakai topi keledar keselamatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!