Zii Jia ada kualiti
PERSEORANGAN utama negara Lee Zii Jia telah menunjukkan kualiti seorang pemain handalan dunia pada kempen Piala Thomas 2020 namun corak permainannya masih belum konsisten.
Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek bagaimanapun berpendapat juara All England 2021 itu masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahannya.
"Nak kata stabil, Zii Jia masih belum stabil lagi tetapi dia dah ada tahap sebagai pemain utama sebab dia dah pernah kalahkan semua 10 pemain terbaik dunia. Jadi bila dia sudah kalahkan pemain dalam kelompok itu memang dia ada kualiti untuk jadi pemain utama.
"Cuma dari segi konsisten itu masih belum lagi...tetapi dia pun baru berumur 23 tahun kan, jadi sekurang-kurangnya perlukan antara satu hingga dua tahun untuk berusaha jadi lebih konsisten," katanya baru-baru ini.
Rashid, sebahagian daripada skuad yang menjulang Piala Thomas buat kali terakhir untuk negara pada 1992 di Kuala Lumpur, berkata Zii Jia dan jurulatihnya perlu lebih memilih dalam menentukan pertandingan yang bakal disertai selepas ini.
Menurut Rashid, menyertai terlalu banyak pertandingan boleh memberikan kesan kepada mental pemain, malah kekerapan beraksi pada kejohanan besar juga boleh menyumbang kepada kejatuhan prestasi.
"Bila pergi kejohanan besar, jangkaan orang ramai mesti nak dia menang, sekurang-kurangnya ke final atau pun juara. Jadi di situ memang satu bebanan yang berat untuk dia," katanya.
Zii Jia, pemain di ranking kelapan dunia, sudah merekodkan kemenangan ke atas semua lawannya dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia ketika ini antaranya Kento Momota dari Jepun, Viktor Axelsen (Denmark), Chou Tien Chen (Taiwan), Cheng Long (China) dan Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia).
Sementara itu, Rashid percaya Malaysia mampu menamatkan penantian hampir 30 tahun untuk merangkul Piala Thomas jika skuad negara mempunyai barisan pemain berprestasi tinggi dalam setiap acara.
"Buat masa sekarang ada nampak peningkatan pemain muda terutama dalam acara perseorangan tetapi beregu belum lagi. Mungkin kita boleh terus perkuatkan lagi pemain perseorangan dan pada masa kita kena cari satu lagi beregu pelapis kepada gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
"Kita nak supaya pasukan negara pada 2024 akan lebih seimbang dan siapa-siapa pun boleh dapatkan mata untuk pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!