Bomba kawal tumpahan bahan kimia

Yahaya (baju putih) menunjukkan sampel bahan kimia yang diambil.
Yahaya (baju putih) menunjukkan sampel bahan kimia yang diambil.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mempunyai pelan untuk memastikan tumpahan bahan kimia di Sungai Kim Kim,Taman Pasir Putih, di sini tidak merebak.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 30 pegawai dan anggota bomba yang ditugaskan di lokasi disyaki berlakunya tumpahan bahan kimia tersebut.

Menurutnya, petugas adalah melibatkan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Forensik dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).

“Bomba menerima panggilan kecemasan berkenaan perkara ini kira-kira jam 5.15 pagi dari orang awam yang berada di perumahan berhampiran. Berdasarkan maklumat awal, bahan kimia ini dipercayai dibuang di Sungai Kim Kim.

Sungai Kim Kim yang dipercayai tempat berlakunya buangan bahan kimia itu.
Sungai Kim Kim yang dipercayai tempat berlakunya buangan bahan kimia itu.

“Kita masih lagi mengenal pasti jenis bahan kimia yang dibuang, tetapi percaya ia adalah bahan mudah terbakar. Forensik juga sudah mengambil sampel air dan tanah di kawasan ini untuk mengetahui jenis bahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Operasi Pembersihan Sungai Kim Kim, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Seorang pelajar pengsan, lima muntah

Yahaya berkata, beberapa peralatan khas bagi menyerap minyak (Oil Boom) telah diletakkan di sepanjang Sungai Kim Kim untuk mengawal pencemaran itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita sudah meletakkan Oil Boom di beberapa kedudukan sungai yang dipercayai terjejas. Fungsinya adalah untuk menyerap bahan kimia sekali gus mengelakkannya daripada merebak.

“Berdasarkan laporan, kawasan terjejas adalah melibatkan radius 500 meter daripada sungai sepanjang kira-kira 1.5 kilometer ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, berkenaan jumlah yang terjejas akibat kejadian itu, beliau memberitahu seramai 20 mangsa terdiri daripada pelajar dan kakitangan dua sekolah di sini, telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan.

“Setakat ini 11 pelajar sekolah rendah, enam sekolah menengah dan tiga kakitangan sekolah dibawa ke HSI untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!