Tukar e-waste dengan wang tunai
KUALA TERENGGANU - Orang ramai yang mempunyai bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di rumah boleh menukar barangan itu dengan wang tunai pada 23 Oktober nanti.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, penukaran e-waste mengikut harga yang ditetapkan itu akan diadakan di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Tahun 2021 Peringkat Negeri Terengganu.
"Program diadakan secara pandu lalu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan kami turut menyediakan cenderahati menarik kepada 200 penyumbang terawal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Ramli, program pengumpulan e-waste dari isi rumah itu diadakan JAS Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri dan rakan strategik ExxonMobil dan Petronas serta KT Wan Recycle.
Beliau berkata, ia bertujuan menggalakkan semua lapisan masyarakat di Terengganu khususnya warga Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menguruskan buangan e-waste mengikut kaedah betul dan selamat.
"E-waste yang mengandungi logam-logam berat jika tidak diurus dengan baik berpotensi mencemarkan alam sekitar terutama air permukaan dan air tanah sekiranya ia dibuang ke tapak pelupusan sampah awam.
“Jika barangan ini dibakar, ia akan menghasilkan bahan pencemar udara yang merbahaya kepada kesihatan dan atas faktor itu, sistem pengumpulan e-waste yang sistematik dari industri diwujudkan.
“Oleh itu, kami harap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam usaha memastikan buangan elektrik dan elektronik diuruskan dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!