Masjidil Haram dibuka pada kapasiti penuh
MAKKAH - Masjidil Haram di Makkah mula menerima jemaah pada kapasiti penuh bermula Ahad selepas penurunan jumlah kes jangkitan Covid-19 di Arab Saudi yang menyaksikan peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kawasan terbuka turut ditarik balik.
Ketua Setiausaha Agung untuk Hal Ehwal Masjidil Haram, Dr Saad Mohammed al-Muhaimid berkata, langkah pelonggaran telah dilaksanakan di samping akan terus memastikan keselamatan jemaah.
“Jemaah bagaimanapun masih perlu memakai pelitup muka dan membuat tempahan jika mahu menunaikan solat dan ibadah umrah menerusi aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna,” ujarnya.
Langkah itu dibuat selepas lebih 20.6 juta daripada 34.8 juta populasi di negara itu sudah menerima dos lengkap.
Keputusan untuk kembali kepada kehidupan normal pasca pandemik itu turut menerima respons positif kebanyakan penduduk setempat termasuk ekspatriat.
“Ini adalah berita gembira. Riyadh telah mengambil langkah sewajarnya demi memastikan keselamatan kesemua individu tidak kira anda rakyat tempatan atau tidak. Kami juga menerima rawatan untuk penjagaan kesihatan dan vaksin Covid-19.
“Saya berasa teruja untuk memasuki fasa normal baharu dan berharap seluruh dunia dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” kata warga Britain, Naushad Mohammed yang menetap di negara itu.
Bermula Sabtu, kakitangan di Masjidil Haram mula membuka pelekat penjarakan fizikal yang menetapkan jarak satu hingga dua meter yang ditampal pada lantai ketika usaha dipergiat untuk membendung penularan wabak tersebut.
Sementara itu, media tempatan melaporkan kemudahan Kementerian Sukan juga akan mula menerima peminat acara itu pada kapasiti penuh malah pelonggaran sama akan dibuat di premis perniagaan dan majlis perkahwinan yang tidak lagi akan melaksanakan penjarakan fizikal.
Seorang rakyat tempatan, Arwa Bashaen berkata, dia kini menarik nafas lega kerana tidak lagi terikat dengan protokol kesihatan Covid-19.
“Banyak urusan seperti majlis perkahwinan tertangguh dan keputusan untuk kembali menjalani kehidupan normal semestinya khabar gembira buat keluarga kami," katanya.
Ketika ini, kebanyakan ibu bapa juga berharap sesi pembelajaran secara bersemuka untuk murid sekolah rendah akan dibuka semula pada minggu depan.
“Saya harap langkah sama akan turut dilaksanakan di kesemua sekolah,” menurut warga tempatan, Ayesha Abdullah di Jeddah. - Agensi
Info:
>Bermula Ahad (17 Oktober), peraturan penjarakkan fizikal tidak lagi diwajibkan di perhimpunan sosial atau di tempat awam termasuk pengangkutan awam dan premis perniagaan seperti restoran, panggung wayang serta pusat beli-belah.
>Pemakaian pelitup muka juga tidak lagi dilaksanakan di tempat terbuka kecuali untuk lokasi spesifik termasuk Masjidil Haram di Makkah.
>Sejak Mei lalu, Arab Saudi telah membuka sempadan negara itu kepada pelancong dewasa yang telah menerima dos penuh atau mendapat dos pertama dalam tempoh 14 hari sebelum berlepas ke negara itu.
>Bermula Ogos, pihak berkuasa membenarkan kemasukan pelancong sudah menerima dos lengkap Pfizer, AstraZeneca dan Moderna tanpa perlu menjalani kuarantin wajib. Individu yang mendapatkan vaksin Sinopharm atau Sinovac bagaimanapun perlu mendapatkan suntikan penggalak salah satu vaksin yang diluluskan Riyadh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!