KPM pertimbang tiada penggiliran bagi pelajar Tingkatan Lima

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (tengah) semasa melawat salah sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun pada Isnin.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (tengah) semasa melawat salah sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun pada Isnin.
A
A
A

TAMPIN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempertimbangkan untuk membolehkan pelajar Tingkatan Lima kembali ke kelas secara bersemuka tanpa penggiliran.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar terutamanya mereka yang dalam kelas peperiksaan.

Menurutnya, memandangkan kadar vaksinasi pelajar Tingkatan Lima semakin meningkat, KPM bersedia untuk membenarkan pelajar kelas peperiksaan ini hadir kelas bersemuka.

"Kita di KPM sedang berbincang dengan KKM bagi memantau kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar dan akan mempertimbangkan untuk tidak melakukan penggiliran bermula dengan kelas peperiksaan seperti mana pelajar yang menghadapi peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) iaitu semester dua tempoh hari.

"Kita akan mulakan dengan pelajar Tingkatan Lima yang akan menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Jumlahnya agak besar dan kita masih berbincang bersama KKM apakah kadar vaksinasi yang membolehkan pelajar ini hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Jika sudah ada tahap tertentu (kadar vaksinasi) yang membolehkan pelajar datang ke sekolah tanpa perlu penggiliran, kita akan benarkan mereka ini hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas secara bersemuka," katanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berbual dengan murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun Tampin pada Isnin.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berbual dengan murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun Tampin pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan bagi negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun dekat sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, sebanyak 97 peratus atau 371,696 pelajar Tingkatan Lima di seluruh negara telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19, manakala 58 peratus (142,665) telah lengkap divaksin.

Katanya, sebanyak 339,951 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat serta pelajar Tahap Satu dari Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Langkawi telah hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas secara bersemuka.

"Penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) akan dilakukan dari masa ke masa sebelum kumpulan besar pelajar kembali ke sekolah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!