Kanak-kanak prasekolah teruja kembali ke sekolah
SHAH ALAM - Rata-rata kanak-kanak prasekolah di sini teruja untuk kembali ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka setelah hampir enam bulan sekolah ditutup akibat penularan virus Covid-19.
Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, di sini pada Isnin mendapati ibu bapa mula menghantar anak mereka seawal jam 7 pagi hingga jam 7.50 pagi.
Hasil tinjauan mendapati ibu bapa diarahkan untuk menghantar anak mereka di depan pagar sekolah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.
Seorang ibu, Nur Hashimah Hashim, 32, berkata, anaknya teruja untuk kembali ke sekolah setelah enam bulan duduk di rumah.
Dia yang merupakan seorang suri rumah turut berasa seronok untuk menghantar anaknya ke sekolah bagi mengikut pembelajaran secara bersemuka.
"Saya rasa seronok melihat anak saya dapat kembali belajar di sekolah seperti biasa.
"Kelengkapan persekolahan masih berada dalam keadaan baik, walaupun telah dibeli pada Mac lalu, cuma seluarnya sudah sedikit singkat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Seorang bapa, Masrizal Maslan, 41, berkata, anaknya tidur awal pada sekitar jam 9 malam kerana teruja untuk hadir ke sekolah.
Bapa kepada lima orang anak ini juga mengakui lega apabila anaknya dapat kembali ke sekolah kerana sebelum ini agak sukar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan tidak mempunyai capaian internet yang baik.
"Alhamdulillah, saya lega anak dapat kembali ke sekolah dan belajar secara bersemuka kerana sebelum ini, anak saya sukar mengikuti PdPR disebabkan masalah internet," katanya yang tinggal di Jalan Kebun.
Sementara itu, Mohd Zulkifly Abd Ghani, 40, berkata, anaknya bangun seawal jam 6.15 pagi kerana teruja untuk berjumpa guru dan rakan-rakannya di sekolah.
Walaupun sedikit risau dengan keselamatan anaknya di sekolah, namun Mohd Zulkifly akui yakin dengan SOP yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan murid di sekolah.
"Saya masih risau dengan virus Covid-19, tapi kita ikut sahaja SOP yang ditetapkan dan doakan keselamatan anak-anak," katanya.
Safrizan Mohamad, 34, pula berkata, anaknya juga teruja untuk kembali ke sekolah kerana sudah lama tidak berjumpa dengan guru dan rakan-rakan di sekolah.
"Anak saya bangun awal pagi ini dan tidak sabar untuk ke sekolah," katanya yang tinggal di Bandar Saujana Putra.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!