Bomba selamatkan dua pekerja terperangkap kebakaran
KEPONG - Dua pekerja warga asing yang terperangkap ketika kebakaran di sebuah kedai buah-buahan di Bandar Manjalara di sini berjaya diselamatkan anggota bomba dalam kejadian pada pagi Isnin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran kedai dua tingkat itu pada jam 2.03 pagi.
Menurut kenyataan itu, seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dengan dibantu BBP Jinjang serta BBP Sentul ditugaskan ke lokasi kejadian.
Komander operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fahmi Abd Rahim berkata, api berjaya dikawal pada jam 2.21 pagi dan dua mangsa berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian dalam keadaan selamat.
"Setibanya jentera di lokasi, kita dapati kebakaran melibatkan sebuah kedai buah-buahan jenis kekal dua tingkat dan terdapat dua orang mangsa lelaki di dalamnya.
"Ia melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 56 tahun dan seorang warga Indonesia berusia 30 tahun yang cedera di pergelangan kaki kanan. Mereka berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, mangsa dibawa ke Hospital Selayang menggunakan ambulans untuk tindakan selanjutnya.
"Bangunan berkeluasan 55.7 meter persegi itu terbakar 100 peratus.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.16 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan," kata kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!