Najib dibenar ke Singapura lawat anak bersalin

Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini. - Foto Bernama
Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan untuk ke Singapura untuk bersama anak perempuannya, Nooryana Najwa yang dijangkakan melahirkan anak kedua pada awal November.

Ini berikutan keputusan tiga hakim yang bersidang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said yang membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk sementara waktu dipulangkan semula pasport antarabangsanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang adalah Datuk Ravinthran Paramaguru dan Datuk Abu Bakar Jais.

“Mahkamah mendapati ada alasan munasabah permohonan ini dibuat. Mahkamah membenarkan permohonan ini dan pasport akan dikembalikan,” kata Hakim Kamaludin.

Hakim Kamaludin: Bila tarikh luput pasport Datuk Seri Najib?

Peguam Bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya menyatakan yang beliau telah tidak melihat pasportnya untuk sekian lama, tetapi menjangkakan yang pasport itu akan luput tidak lama lagi.

Muhammad Shafee sebelum ini mengemukakan rayuan bahawa anak guamnya telah membuat permohonan untuk pasport antarabangsanya dipulangkan kepadanya secara sementara bermula 20 Oktober atau secepat mungkin sehingga 22 November 2021.

Muhammad Shafee menyatakan yang anak guamnya perlu mendapatkan pasportnya lebih awal bagi membolehkan beliau memperbaharuinya sebelum berlepas ke Singapura pada 3 November kerana beliau juga perlu membahaskan di Parlimen (Belanjawan 2022) pada 2 November.

Artikel Berkaitan:

“Beliau akan terbang pada 3 November dan beliau perlu menjalani kuarantin kendiri untuk 10 hari di Singapura. Beliau akan kembali ke Kuala Lumpur pada 20 November (Sabtu). Pasportnya akan dipulangkan semula ke mahkamah oleh saya atau peguam saya pada 22 November (Isnin), kerana anak guam saya akan menjalani kuarantin kendiri sebaik tiba dari Singapura,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari tidak membuat sebarang bantahan mengenai perkara itu. Najib hadir ke pendengaran pada Isnin.

Pada 14 Oktober, Najib telah memfailkan notis usul menerusi Tetuan Shafee & Co bagi membolehkan beliau melawat Nooryana Najwa, yang pada ketika ini di Singapura bersama suami dan anak perempuan berusia empat tahun.

Dalam notis usul itu Najib memohon untuk pasportnya diserahkan kepadanya sebelum 20 Oktober bagi membolehkan beliau memperbaharuinya sebelum berlepas ke Singapura pada 3 November.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, anak perempuannya itu kini menetap di Singapura bersama suami dan anak sulungnya yang berusia empat tahun, tidak mempunyai ahli keluarga lain di sana untuk membantu dan menemaninya sepanjang tempoh mengandung sehingga kelahiran tersebut.

Sebagai seorang bapa, Najib berkata, beliau bertanggungjawab untuk memastikan Nooryana dijaga rapi dan mendapat sokongan serta rawatan yang diperlukan memandangkan beliau pernah mengalami komplikasi yang serius semasa melahirkan anak pertamanya.

Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, yang kini sedang membela diri bagi pertuduhan rasuah bagi mendapatkan semula pasportnya untuk tujuan yang sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!