ADUN Kukusan nafi keluar Warisan
KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal menafikan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) seperti yang dilaporkan sebuah portal.
Rina yang juga Naib Ketua Wirawati menolak dakwaan kononnya beliau keluar daripada Warisan kerana kecewa dengan perjuangan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang semakin hilang arah.
"Itu semua fitnah. Sehingga kini, saya tidak melihat perkara tersebut malah kekuatan, visi dan misi Mohd Shafie Apdal masih lagi jelas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
"Presiden tidak perlu akur dengan tekanan luar, malah kekal tidak menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang ditawarkan kerajaan seperti Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Ketua Wirawati Bahagian Kalabakan itu turut mendakwa, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pihak lawan terus melatah, malah sanggup tukar parti dan membeli ADUN Warisan semata-mata mahu terus berkuasa.
"Sebenarnya, saya tidak terkejut langsung pun untuk berita picisan begini. Pertama, umum mengetahui portal berkenaan memang dikendalikan 'cybertrooper' yang hidupnya bergantung kepada fitnah untuk popular. Mungkin itulah sumber rezeki mereka.
"Orang ramai sedia maklum, blog atau 'page' sebegini 'is nothing' kecuali hanya orang yang malas berfikir akan menganggap ia betul dan perlu dibahaskan.
"Fitnah sebegini bertujuan melemahkan penyokong namun saya tahu penyokong di Kukusan tidak akan mudah tertipu. kerana hubungan rapat saya dengan mereka menerusi lawatan yang sentiasa saya kongsikan di Facebook," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!